fbpx

Pemilik syarikat teksi bergelar Datuk mengaku tidak salah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pengasas Big Blue Taxi Services, Datuk Shamsubahrin Ismail mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM10,000 Mac lalu.

Tertuduh Shamsubahrin, 55, membuat pengakuan tidak bersalah itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Rozina Ayob.

Pada prosiding hari ini ketika hadir ke mahkamah, bapa kepada lima anak itu dilihat berkerusi roda.

Mengikut pertuduhan, ahli perniagaan itu didakwa menerima wang tunai RM10,000 daripada akaun Maybank milik Yusfazila Md. Yusoff sebagai dorongan untuk menyelesaikan kes seorang individu lelaki di Mahkamah Rayuan Putrajaya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Ambank, Jalan Yap Kwan Seng pukul 1 petang pada 4 Mac lalu yang didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa SPRM, Abd. Muntaqim Abdul Aziz, menawarkan jaminan
RM5,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, peguam peguam Muhammad Noor Azfar Muhammad Noor Azmi yang mewakili tertuduh memohon jumlah jaminan rendah dengan alasan anak guamnya telah memberikan kerjasama sepanjang siasatan dijalankan.

“Tertuduh merupakan penanggung tunggal keluarga dan perniagaannya sangat terjejas ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, Hakim Rozina membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Mahkamah kemudian menetapkan 1 Oktober ini untuk sebutan semula kes. – K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI