KANGAR – Seorang lelaki warga Thailand berdepan hukuman gantung sampai mati selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan mengedar dadah seberat 4.121 kilogram (kg) di Kampung Kolam, Padang Besar dekat sini pada 17 Ogos lalu.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Alwa Nado, 33, selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret, Kamaliza Md. Zain.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh yang merupakan seorang penganggur didakwa mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 2.149 kg di sebuah rumah di Kampung Kolam, Padang Besar kira-kira pukul 2.45 petang pada 17 Ogos lalu.
Dalam pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa mengedar dadah jenis ganja seberat 1.972 kg pada tempat, tarikh dan waktu yang sama.
Kedua-dua pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta sama.
Kesalahan itu memperuntukkan hukuman gantung sampai mati mandatori atau penjara seumur hidup dan hendaklah dihukum sebat tidak kurang 15 sebatan jika tidak dijatuhkan hukuman mati. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929