fbpx

Katil ICU Covid-19 HPP cecah 100 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
(Dari kiri) Gim Sian, Zahari dan Sui Hau pada majlis penyerahan kontena sejuk beku di HPP di George Town hari ini

GEORGE TOWN – Penggunaan katil wad unit rawatan rapi (ICU) bagi merawat pesakit Covid-19 di Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini sudah mencapai 100 peratus berikutan peningkatan kes di negeri ini.

Menurut Pengarah HPP, Datuk Dr. Teo Gim Sian, pihaknya ketika ini merancang menggunakan katil di unit atau wad lain bagi menampung jumlah pesakit Covid-19 yang memerlukan rawatan rapi.

Dalam masa sama katanya, HPP juga akan menggunakan katil-katil di wad lain untuk merawat pesakit biasa Covid-19.

“Kita akan berusaha keras dan tidak akan berputus asa dalam menghadapi gelombang kes pesakit Covid-19 yang sedang meningkat di negeri ini.

“Kita telah membuat persediaan dan akan memperuntukkan sebanyak mungkin katil untuk pesakit Covid-19 termasuk menggunakan katil di wad-wad sedia ada di HPP,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menerima sumbangan kontena sejuk beku bagi menyimpan mayat oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO), One Hope Charity & Welfare di Jabatan Forensik HPP di sini.

Kontena bernilai RM90,000 itu diserahkan Pengerusi One Hope Charity & Welfare, Datuk Chua Sui Hau dan turut dihadiri Ketua Jabatan Perubatan Forensik HPP, Datuk Dr. Zahari Noor.

Dalam pada itu, Zahari berkata, kontena sejuk beku yang disumbangkan itu dapat menyimpan sehingga 50 jenazah dan mayat sebelum urusan pengkebumian dilaksanakan.

Katanya, sumbangan kontena sepanjang kira-kira 12 meter itu dapat menampung kapasiti 200 ruang simpanan jenazah atau mayat sedia ada di Pulau Pinang ketika ini iaitu masing-masing di HPP dan Hospital Kepala Batas.

“Setakat ini, kapasiti simpanan mayat di kedua-dua hospital itu masih cukup, namun kita perlu bersiap sedia dan mengambil pengajaran dari apa yang berlaku di Kuala Lumpur dan Selangor misalnya sekiranya kes-kes kematian akibat Covid-19 di negeri ini meningkat mendadak,” katanya.

Pulau Pinang semalam mencatatkan sebanyak 2,078 kes baharu positif Covid-19 dengan 31 kematian. – K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI