MUTAKHIR ini, ramai anak muda menggunakan platform YouTube untuk berkongsi pelbagai kandungan yang mereka hasilkan buat tatapan umum.
Rozana Mohaman Hamidi, 23, adalah antara anak muda yang mengambil peluang tersebut dengan menghasilkan saluran YouTube sendiri, Rozek TV.
Dia yang mesra dengan panggilan Rozek menjelaskan, saluran YouTube itu menyiarkan kandungan berkaitan masakan.
“Saya memang minat memasak sejak kecil. Sebelum ini, saya sering memasak dan berkongsi video di laman sosial Instagram peribadi.
“Cuma di Instagram, saya tidak boleh berkongsi video berdurasi panjang. Lalu saya terfikir untuk menghasilkan saluran YouTube sendiri untuk berkongsi video-video tersebut agar lebih dekat dengan peminat masakan,” jelasnya yang berasal dari Batu Kurau, Perak.
Dia mula menghasilkan saluran Rozek TV pada Mac tahun lalu.
Walaupun baru setahun lebih, saluran yang dihasilkannya itu mempunyai lebih 100,000 pengikut.
Bagi membolehkan setiap video berkenaan menjadi perhatian ramai, dia memberikan sentuhan dan identiti tersendiri termasuk penggambaran tidak hanya dilakukan di dapur, tetapi turut dibuat di kawasan terbuka seperti di luar rumah.
Apa yang lebih menarik ujarnya, dia menggunakan dapur kayu api bagi setiap menu yang dimasak untuk memberikan kelainan daripada video masakan yang dikongsi orang lain.
Dalam pada itu, Rozek menjelaskan, dia begitu gembira dan teruja selepas video masakan yang dikongsinya itu menerima respons baik penonton.
“Saya teruja apabila menerima maklum balas penonton yang mencuba resipi yang saya kongsikan,” katanya.
Antara resipi masakan yang dikongsikan Rozek adalah seperti sup kulit lembu, kari kepala kambing, burung puyuh masak kicap dan lain-lain.
Biarpun dikatakan pandai mengolah resipi yang dikongsinya itu, Rozek menjelaskan, dia sebenarnya tidak pernah mengikuti kelas masakan secara formal, tetapi banyak belajar daripada kedua-dua ibu bapanya.
Berbicara tentang cabaran yang dihadapi sepanjang penghasilan video masakan, Rozek menjelaskan, kadangkala proses rakaman video terpaksa dihentikan kerana faktor cuaca.
“Kebiasaannya, saya akan memuat naik video masakan di YouTube dua kali seminggu, tetapi ia bergantung kepada keadaan cuaca.
“Jika musim hujan, saya tidak dapat membuat rakaman. Ada satu ketika, sedang merakam video masakan, tiba-tiba hujan dan rakaman terpaksa ditangguhkan,” jelasnya.
Tambahnya, dia dibantu oleh adiknya yang membuat rakaman video menggunakan telefon pintar.
Mengimbau sewaktu mula-mula menghasilkan video masakan, Rozek berkata, dia berhadapan kesukaran untuk membuat kerja-kerja penyuntingan.
“Pada ketika itu, saya tidak mempunyai kemahiran untuk menyunting video dan hampir menangis melihat hasilnya yang kurang memuaskan.
“Alhamdulillah, kini saya sudah agak mahir menyunting video agar durasinya tidak terlalu lama untuk tontonan,” bicaranya.
Apa yang membuat Rozek lebih bersemangat untuk meneruskan projek video masakan adalah saluran YouTubenya bukan sahaja ditonton oleh rakyat negara ini, malahan turut mendapat perhatian penonton dari Thailand, India dan negara-negara lain.
“Disebabkan video yang saya hasilkan adalah dalam bahasa Melayu, mungkin ia menyukarkan penonton dari negara lain untuk memahaminya.
“Justeru, saya berhasrat untuk memasukkan sari kata bahasa Inggeris untuk video masakan pada masa depan,” jelasnya.