fbpx

Rindu semakin berat, reda semakin bulat- Shuib

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SHUIB memberitahu Talita dan Martin kerap bertanya mengenai arwah ibunya.

PETALING JAYA – “Anak-anak sering bertanya di mana ibu mereka.”

Meskipun sudah lebih dua minggu Allahyarham Siti Sarah meninggal dunia, pelawak, Shuib memberitahu dua anaknya sering bertanya mengenai ibunya yang telah pergi menghadap Ilahi pada 9 Ogos lalu.

Bercerita mengenai penerimaan anaknya, Shuib memberitahu anak kedua, Dzahira Talita Zahra, 8, dan ketiganya, Ariq Matin, 6, kerap bertanya tentang arwah sebelum tidur.

“Sebelum tidur, kadang-kadang Talita akan menyoal kenapa ibu lama sangat di syurga kerana mereka pernah berjanji nak berjalan, tidur dan berkongsi alat solek sama-sama.

“Mahu atau tidak, saya perlu menceritakan perkara sebenar. Jika tidak mampu nak menjawab, hanya air mata saja jawapannya,” kata pemilik nama lengkap Shahmira Muhamad, 37, itu.

Shuib berkongsi perkara tersebut dalam sesi siaran langsung bersama Abu Talib Husin dan pendakwah bebas, Mohamad Yaakub Yusra hari ini.

Dia bagaimanapun bersyukur kerana memiliki anak sulung, Uwais Alqarni, 10, yang sangat memahami situasi sebenar.

MENURUT Shuib, Uwais (kanan) memiliki keperibadian dan wajah mirip arwah ibunya sekaligus menjadi pengubat rindu terhadap Siti Sarah.

“Uwais sudah faham situasi sebenar dan dialah jadi penenang kepada adik-adiknya. Matin yang paling kerap bertanya secara mengejut manakala Talita jenis tunjuk emosinya ketika sedih.

“Allah Maha Besar. Dia ambil bidadari saya dan gantikan dengan anak sulung yang memang mirip seperti arwah ibunya termasuklah perangainya,” katanya lagi.

Bercerita lanjut mengenai rutin kehidupannya selepas pemergian isteri tercinta, Siti Sarah, dia mengakui banyak perkara yang berubah terutama suasana di rumahnya.

“Sepanjang 17 hari selepas pemergian Allahyarham, bukan satu perjalanan yang mudah. Allah beri dugaan, tapi berkat doa daripada semua orang, saya lalui dengan baik ketika ini.

“Tipulah saya tidak sedih kerana saya tetap manusia biasa tetapi syukur Tuhan telah kurniakan satu kekuatan demi anak-anak.

“Saya sangka semuanya semakin okey tetapi rupa-rupanya rindu itu makin berat tetapi reda semakin bulat. Semoga Allah terus memeluk arwah,” katanya lagi.

Pada 9 Ogos lalu, Shuib kehilangan isteri tercinta, Siti Sarah, 37, yang meninggal dunia akibat Covid-19 di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia, Cheras, Kuala Lumpur selepas ditidurkan selama tiga hari.

Semalam ahli kumpulan pelawak Sepahtu itu juga memberitahu Ayash yang lahir pramatang pada 6 Ogos lalu sudah dikeluarkan daripada inkubator di HCTM dan telah diberi susu ibu daripada sepupu Shuib. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI