MANCHESTER – Pengurus Manchester City mengumumkan mengenai hasratnya untuk meninggalkan Etihad dan kembali mengejar impiannya menjadi jurulatih pasukan kebangsaan sebaik kontraknya bersama kelab itu berakhir.
Kontrak pengurus dari Sepanyol itu bakal berakhir pada penghujung musim depan iaitu Jun 2023 selepas beliau menyertai The Citizens dari Bayern Munich pada tahun 2016.
Sebaik menggantikan Manuel Pellegrini di City, Guardiola berjaya membantu pasukan itu meraih tiga kejuaraan Liga Perdana Inggeris, empat trofi Piala Liga England dan satu gelaran Piala FA.
Pengurus berusia 50 tahun itu mendedahkan bahawa beliau tidak berhasrat untuk menyambung kariernya bersama kelab itu dan mahu mencari cabaran baharu bersama pasukan kebangsaan untuk aksi antarabangsa.
“Selepas tujuh tahun bersama pasukan ini, saya fikir sudah sampai masanya untuk berhenti. Saya perlu berehat seketika, melihat semula apa yang telah dicapai dan mengejar kembali impian yang belum terlaksana.
“Saya rasa sudah sampai masanya untuk beralih angin, menjadi jurulatih pasukan kebangsaan. Mungkin di Amerika Selatan, Eropah atau menyertai saingan Copa America.
Saya perlukan pengalaman itu untuk menjadi lebih baik,” katanya.
Bagaimanapun, Guardiola menolak khabar angin bahawa beliau adalah calon terbaik untuk menggantikan jurulatih Brazil, Tite mengemudi pasukan itu pada masa depan. – AGENSI