PARIS – Pengarah Sukan Paris Saint-Germain, Leonardo mendedahkan kelab itu menolak tawaran mega daripada Real Madrid untuk mendapatkan Kylian Mbappe kerana muak dengan cara kelab Sepanyol itu berurusan.
Dakwanya, tawaran sebanyak €160 juta (RM791.64 juta) itu adalah ‘wayang’ semata-mata menyebabkan PSG menolak mentah-mentah biarpun ia dianggap sebagai perpindahan mega musim panas kali ini jika ia dipersetujui.
“Tawaran yang dikemukakan itu adalah strategi daripada Real dalam usaha mereka untuk membuatkan kami tidak mampu menolaknya. Ia seolah-olah menunjukkan bahawa mereka telah mencuba musim ini sebelum mendapatkan Mbappe secara percuma musim depan.
“Real bersikap begini sejak dua tahun lalu dan ia sudah tentu tidak adil. Mereka juga menghubungi pemain menggunakan ‘pintu belakang’ ketika pemain masih mempunyai kontrak bersama pasukan yang diwakili.
“Kami tidak boleh menerimanya dan ia adalah suatu yang melanggar undang-undang,” jelasnya.
Bagaimanapun, Leonardo mengakui bahawa Mbappe terdesak untuk meninggalkan pasukan itu dan PSG sedia menerima tawaran dari Real jika ia benar-benar menepati apa yang mereka kehendaki.
“Jelas, Mbappe mahu meninggalkan kelab ini. Kami mengemukakan dua tawaran kepada Mbappe dan jika tawaran Real juga hampir sama dengan apa yang kami tawarkan kepada Mbappe, kami boleh bersetuju.
“Jika dia benar mahu pergi, kami tidak mampu menghalangnya tetapi dengan syarat yang kami tetapkan. Kylian sudah berjanji bahawa dia tidak akan meninggalkan kelab ini dengan percuma,” jelasnya. – AGENSI