LONDON – Pemandu Red Bull, Max Verstappen sudah tidak sabar untuk berjuang di Grand Prix Belgium hujung minggu ini selain mahu melupakan insiden yang menimpanya terutama isu perebutan gelaran dunia Formula Satu (F1) musim ini.
Pemandu Belanda tersebut tampil cemerlang separuh musim perlumbaan apabila dia berjaya meraih lima kemenangan sekali gus memimpin saingan mengatasi pemandu pasukan Mercedes, Lewis Hamilton.
Bagaimanapun, akibat insiden di Grand Prix (GP) Azerbaijan, British dan Hungary peluangnya untuk kekal di tangga teratas saingan itu terjejas.
Juara dunia tujuh kali, Hamilton yang meraih kemenangan kontroversi di British selepas melanggar Verstappen merampas kedudukan tersebut sekali gus turun ke Belgium minggu ini dengan status sebagai pendahulu keseluruhan dengan kelebihan lapan mata.
“Sudah tentu saya sangat teruja untuk turun beraksi semula memandangkan Litar Spa-Francorchamps adalah salah satu trek kegemaran saya.
“Saya juga tidak sabar untuk melihat penonton yang memberi sokongan kepada kami. Saya rasa perlumbaan di Belgium adalah masa terbaik untuk kami menyusun semula perjuangan dalam perebutan kejuaraan musim ini.
“Saya sudah bersedia dan bersemangat untuk kembali bersama pasukan mengatur strategi pada hujung minggu nanti,” kata Verstappen.
Sementara itu, Red Bull dikatakan bakal turun dengan pelarasan terbaiknya selain turut mendapat sokongan 100 peratus daripada Honda bagi memastikan pasukan tersebut tampil cemerlang di Spa-Francorchamps.
“Ini waktu yang tepat untuk melihat kemampuan sebenar kami dan juga Honda di litar ini. Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Honda atas kerja keras dan bantuan mereka selama ini,” kata Ketua pasukan Red Bull, Christian Horner. – AGENSI