PETALING JAYA – Sime Darby Property Berhad (Sime Darby Property) mencatat rekod jualan sebanyak RM1.3 bilion bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2021(H1 TK2021), tumbuh 83.9 peratus berbanding jualan sebanyak RM712.5 juta yang dicapai dalam tempoh yang sama pada tahun sebelumnya.
Pada tempoh kewangan tersebut, Kumpulan mencatat peningkatan pendapatan dan PBT sebanyak 42.8 peratus dan 227.4 peratus masing-masing kepada RM1.1 bilion dan RM152.3 juta masing-masing berbanding H1 TK2020.
Keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) berjumlah RM80.5 juta yang direkodkan merupakan peningkatan yang kukuh berbanding kerugian pada H1 TK2020 sebanyak RM90.3 juta.
Pengarah Urusan Kumpulan Sime Darby Property, Datuk Azmir Merican berkata, Kumpulan akan mengambil langkah berjaga-jaga dalam separuh kedua TK2021 untuk mengekalkan momentum pertumbuhan yang positif sepanjang tahun kewangan ini. Usaha akan ditumpukan kepada pengukuhan operasi dan kedudukan kewangan.
“Kami sedang mempercepatkan kepelbagaian pendapatan melalui segmen produk lot dan tanah perindustrian yang kini merangkumi sebanyak 17.8 peratus daripada portfolio jualan Sime Darby Property.
“ Ini digandingkan pula dengan fokus Syarikat dalam melancarkan projek-projek di lokasi yang strategik pada titik harga yang tepat, penciptaan nilai baharu melalui pengurusan bank tanah dan pengurusan kos yang bewaspada bagi baki tahun kewangan ini,” katanya dalam kenyataan.
Prestasi H1 TK2021 dari tahun ke tahun mengikut segmen, bahaian pembangunan hartanah telah menyumbang sebanyak 93.4 peratus kepada jumlah pendapatan Kumpulan pada separuh pertama tahun ini.
Segmen ini mencatat pendapatan sebanyak RM1.1 billion, menandakan peningkatan sebanyak 55 peratus berbanding RM703.5 juta yang direkodkan pada tahun sebelumnya dan juga peningkatan PBT sebanyak 265.5 peratus kepada RM177.3 juta berbanding kerugian pada tahun sebelumnya iaitu sebanyak RM107.1 juta.
“Peningkatan ini adalah hasil pertambahan jualan baharu dan aktiviti pembangunan di perbandaran Sime Darby Property, khususnya di City of Elmina, Elmina Business Park, The Glades, Bukit Jelutong dan Serenia City di Selangor; KLGCC Resort di Kuala Lumpur; serta Bandar Ainsdale dan Nilai Impian di Negeri Sembilan,” ujarnya.
Selain itu, Amir menerangkan, kedudukan kewangan Sime Darby Property kekal kukuh dengan baki tunai berjumlah RM698.3 juta sehingga 30 Jun 2021.
Kumpulan juga berjaya menjana aliran tunai dan kendalian yang masing-masing positif sebanyak RM95 juta dan RM13.3 juta, serta memastikan nisbah hutang bersih kekal rendah berbanding industri pada kadar 30 peratus.