JOHOR BAHRU – Kira-kira 80 peratus penduduk Orang Asli Seletar di Kampung Kuala Masai di sini disahkan positif Covid-19.
Tok Batin, Kelah Lah berkata, seramai 59 penduduk termasuk seorang bayi berumur dua bulan telah dihantar ke Pusat Kuaratin Risiko Covid (PKRC) di Hospital Permai.
Manakala, kira-kira 100 penduduk lagi diarahkan menjalani kuaratin di rumah masing-masing.
“Saya sendiri masih menjalani kuarantin di rumah sejak 17 hari lalu, dan sekarang beransur sihat.
“Kira-kira 100 lagi penduduk menjalani kuarantin di rumah kerana ada yang hampir sembuh setelah 10 hari menjalani kendiri,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Kelah berkata, kira-kira 350 penduduk Orang Asli suku Seletar yang menetap di Kampung Kuala Masai ini yang kebanyakannya adalah nelayan dan pengusaha ternakan kupang.
“Saya berharap pihak Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dapat membantu penduduk di sini dengan menghantar bekalan ubat-ubatan yang semakin berkurangan dan juga keperluan asas.
“Semalam pihak dari Ihsan Johor ada menghantar bantuan makanan basah dan keperluan asas untuk para penduduk yang terkesan dengan pandemik Covid-19,” jelasnya.
Kelah berkata, masih terdapat penduduk yang tidak sihat dan memerlukan ubatan seperti vitamin C, ubat batuk dan beberapa ubatan lain kerana mereka tidak dibenarkan keluar dari kawasan kampung apabila PKPD dilaksanakan bermula 25 Ogos hingga 8 September depan.
Dalam pada itu, Kelah berharap pihak JAKOA dapat melaksanakan program vaksinasi kepada penduduk kampung Orang Asli di sini yang masih belum menerima sebarang vaksin sejak mula mendaftar pada bulan April lalu.
“Sejak bulan Mei kami penduduk kampung menunggu untuk mandapat panggilan bagi menerima vaksin sehingga sekarang tidak dapat apa-apa jawapan, sehinggalah penduduk disini menerima padah terkena jangkitan Covid-19,” ujarnya.- K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929