PETALING JAYA – Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bakal menganjurkan International Public Employment Forum 2021 (IPEF 2021) bertujuan untuk membantu mempersiapkan orang ramai terutamanya golongan majikan, pekerja dan pencari kerja dengan maklumat serta berkongsikan amalan terbaik bagi membina semula kehidupan pasca pandemik Covid-19.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan, forum antarabangsa yang dianjurkan secara maya itu bakal menghimpunkan tiga program berbeza di bawah satu bumbung dan ia akan diadakan secara serentak bermula 6 hingga 9 September 2021.
Program tersebut adalah SOCSO’s Regional Return to Work (RTW) DIGIMOS Symposium 2021 (6 – 7 September), International Public Employment Services Symposium (7 – 8 September) dan Ekspo Kerjaya (7 – 9 September).
“Ketiga-tiga program ini adalah terbuka kepada seluruh lapisan masyarakat dan penyertaannya adalah percuma.
“Bertemakan Navigating Disability Management Through the New Normal: Return to Work Process Re-engineering, program RTW DIGIMOS Symposium 2021 ini dianjurkan selari dengan usaha Perkeso untuk terus membantu golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dalam mengharungi cabaran pandemik Covid-19,” katanya.
Selain itu, Perkeso menerangkan, persidangan yang kali pertama dianjurkan itu bakal mengumpulkan lebih 1,000 peserta dari seluruh pelosok Asia Tenggara dengan mengetengahkan barisan panel jemputan yang terdiri daripada pakar-pakar dalam bidang pengurusan hilang upaya dan rehabilitasi di tempat kerja.
Menerusi program International Public Employment Services Symposium pula, badan itu berhasrat untuk mewujudkan satu platform perkongsian idea dan bertukar pandangan melibatkan pakar-pakar dalam pasaran buruh negara mengenai langkah membangunkan semula ekonomi negara selepas pandemik Covid-19.
Persidangan dua hari ini dijangka menarik lebih daripada 40,000 penyertaan
Sehubungan itu, Perkeso menyeru orang ramai termasuk golongan profesional, ahli akademik, para majikan, pencari kerja, graduan dan lepasan sekolah supaya menyertai IPEF 2021.
Pendaftaran boleh dibuat mulai sekarang di sini. Sebarang maklumat dan pertanyaan lanjut, sila hubungi nombor Careline PERKESO di 1300-22-8000 atau e-mel ke [email protected]. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929