Kejayaan Jepun mendominasi sukan papan selaju di temasya Sukan Olimpik lalu membuatkan ramai pihak mula membuka mata mengenai potensi sukan tersebut dalam menghadiahkan emas pertama buat Malaysia.
Mana tidaknya, pasukan berpengalaman seperti Amerika Syarikat disebut-sebut mampu menyapu bersih empat pingat emas yang ditawarkan, namun sebaliknya berlaku apabila mereka sekadar meraih dua gangsa.
Jepun yang membariskan atlet muda pula mampu meraih tiga emas, satu perak dan satu gangsa ketika acara tersebut julung kali dipertandingkan di temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020.
Sudah pasti kejayaan tersebut memberi kesan kepada pelbagai pihak terutama Malaysia yang mula melihat sukan-sukan berpotensi seperti papan selaju untuk meraih pingat di pentas Olimpik.
Sukan baharu seperti papan selaju ini dilihat antara prospek baharu kepada Malaysia kerana kemungkinan sukan tersebut dipertandingkan pada Sukan Olimpik Los Angeles pada 2028.
Malah, peluang dan ruang anak Malaysia untuk ke Olimpik Paris 2024 sentiasa terbuka kerana badan pengelola sukan tersebut iaitu World Skate akan membuka kejohanan kelayakan bermula pada tahun 2023.
Presiden Persekutuan Luncur Beroda Malaysia (MYSKATE), Idroose Tambarin berkata, sukan papan selaju semakin diterima ramai terutama dalam kalangan golongan muda.
“Memang benar sukan papan selaju atau skateboarding ini sudah lama bertapak di Malaysia, namun sebelum ini ia sekadar hobi dan berdepan pelbagai kekangan untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.
“Sebab itu kita sukar mencari bakat-bakat terbaik untuk diketengahkan sehinggalah MYSKATE mula agresif untuk mengesan atlet-atlet terbaik untuk bersama pasukan negara.
“Misi MYSKATE adalah untuk mengesan atlet berusia 8 hingga 14 tahun untuk diketengahkan lebih awal. Lihat seperti Jepun mahupun Brazil, atlet mereka 13 tahun sudah mula beraksi di kejohanan antarabangsa dan telahpun meraih pingat emas di Olimpik.
“Boleh dikatakan kita agak ketinggalan jauh jika dibandingkan dengan negara-negara Asia Tenggara seperti Indonesia mahupun Filipina. Justeru, kita perlu fokus bermula di akar umbi.
“Jika kita mendapat sokongan persatuan negeri-negeri, kelab-kelab seluruh Malaysia mahupun ibu bapa, saya yakin akan ada atlet kita yang beraksi di Olimpik,” katanya.
Dalam pada itu, Idroose turut mengakui pihaknya akan membantangkan perancangan mereka kepada Majlis Sukan Negara (MSN) dalam tempoh terdekat ini memandangkan tahun 2022 mereka berdepan jadual padat selain perlu melihat peluang Malaysia untuk ke Paris 2024.
“Tahun depan jadual agak padat kerana sukan papan selaju ini akan dipertandingkan di Temasya Sukan Dalam Dewan dan Seni Mempertahankan Diri Asia 2022 dan juga Sukan Asia Hangzhou, Zhejiang, China 2022 nanti.
“Sudah pasti ini antara cabaran yang kita akan lalui kerana kita langsung tiada kejohanan tempatan untuk mencari atlet-atlet terbaik. Jadi, kita perlu agresif untuk mencari atlet-atlet terbaik ke sana nanti.
Sebelum ini, bekas Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal melihat sukan-sukan popular dalam kalangan anak muda seperti berbasikal BMX dan papan selaju mampu menjadi prospek pingat buat Malaysia.