PETALING JAYA – Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menaruh kepercayaan tinggi di mana penggantinya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mampu meningkatkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Singapura pada masa depan.
Ahli Parlimen Pagoh itu mengesahkan bahawa beliau menerima panggilan telefon daripada Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong antara lain bagi bertanya khabar dan mengetahui perkembangannya selepas tidak lagi menjadi Perdana Menteri.
“Hsien Loong turut merakamkan penghargaan dan terima kasih atas hubungan serta kerjasama baik yang kami sama-sama jalinkan sepanjang lebih setahun bergelar rakan sejawat dan berdoa saya dapat terus memainkan peranan dalam aspek hubungan dua hala antara kedua-dua negara.
“Saya menaruh keyakinan hubungan baik Malaysia-Singapura ini akan terus ditingkatkan di bawah pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selaku Perdana Menteri. Hsien Loong juga memberi jaminan langkah memperkasakan hubungan dua hala antara kedua-dua negara dalam pelbagai aspek akan terus diperkasakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu pada 16 Ogos lalu, negara dikejutkan dengan pengumuman peletakan jawatan oleh Muhyiddin dan semua anggota Kabinetnya selepas kehilangan sokongan majoriti Ahli Parlimen dan cadangan kerjasama bipartisan yang dicadangkannya juga tidak mendapat sokongan parti pembangkang.
Ismail Sabri kemudian diumumkan sebagai Perdana Menteri Malaysia kesembilan selepas memperoleh sokongan majoriti 114 Ahli Parliman termasuk dari UMNO, Bersatu, Pas, MCA, MIC dan GPS.
Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata secara peribadi, beliau amat menghargai nilai persahabatan yang ditunjukkan oleh Perdana Menteri Singapura yang dikenalinya selama ini.
“Masih segar diingatan pertemuan bersemuka dan bersejarah kami di tengah-tengah Tambak Johor pada Julai tahun lepas iaitu sejurus saya menjawat jawatan Perdana Menteri, manakala beliau sendiri baru saja mengangkat sumpah bagi menyambung tugas sebagai Perdana Menteri.
“Saya doakan TYT Lee Hsien Loong diberikan kesihatan dan dipermudahkan urusan mentadbir Singapura,” jelasnya. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929