fbpx

Sengsara, survival pandemik acuan Khai Bahar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KHAI BAHAR

DETIK berlalu, sudah hampir dua tahun masyarakat dunia hidup dalam kegawatan pandemik. Mahu atau tidak, hidup perlu diteruskan.

Daripada membiarkan putaran waktu terbuang, penyanyi Khai Bahar memanfaatkan platform media sosial sebagai medium untuknya kekal berhubung dengan peminat setiap masa.

Akui penyanyi dari negeri Indera Kayangan itu, sebagai artis sudah pasti karier seninya menerima impak akibat kedatangan pandemik, namun dia tidak melihat situasi getir tersebut sebagai penamat segala-galanya.

Asalkan ada usaha, pasti terbentang jalan luas di depan mata. Membuka ruang dan mencari jalan kedua dalam meneruskan survival, Khai menjadikan landasan media sosial sebagai penghubung nadi kariernya kepada dunia luar.

“Dalam keadaan sekarang, memang diakui saya terjejas juga. Lebih-lebih lagi dari segi perjalanan karier yang terganggu kerana tidak boleh menjalankan persembahan seperti biasa.

“Cuma mujurlah ada juga ada tawaran lain yang datang mengetuk pintu rezeki. Pada masa sama, saya juga ada perniagaan yang diusahakan secara kecil-kecilan. Cukuplah untuk menampung hidup saya dan keluarga seadanya,” katanya yang turut aktif berkongsi video nyanyian dalam media sosial sebagai penghilang kebosanan buat peminat.

Sebagai manusia, jauh di sudut hati penyanyi yang mula menempa nama menerusi lagu Bayang itu, emosinya pernah tergelincir sama seperti orang lain tatkala berdepan kesukaran meredah hidup dalam suasana pandemik.

PERKARA pertama ingin dilakukan Khai andai rentas negeri dibenarkan adalah segera pulang ke kampung halaman di Perlis untuk bertemu kedua ibu bapanya sebelum kembali mengerjakan projek karier yang tertangguh. – Instagram Khai Bahar & Blackpepper Production

Apakan daya, sedar bukan cuma dirinya seorang yang mengalami situasi sukar ketika ini membuatkan Khai memujuk hati untuk terus tegar menghela nafas kehidupan dengan semangat yang kuat.

Pegangan sebegitulah yang menjadikan dia cekal menepis energi negatif seperti tekanan perasaan tatkala masalah kesihatan mental menunjukkan peningkatan ketara sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diwartakan di negara ini tahun lalu.

“Kalau diikutkan sangat kepala dengan banyak memikirkan masalah dan perkara negatif, mungkin akan datang benda-benda tak elok (tekanan dan depresi).

“Sejujurnya, saya pun hampir melalui tekanan ketika menyaksikan peningkatan kes harian Covid-19 yang sangat tinggi, lebih lima angka setiap hari. Tetapi cepat-cepat saya jauhkan diri daripada dikuasai rasa sebegitu dengan melakukan perkara lain seperti bersenam dan bermain dengan anak buah,” ujarnya.

Bagi sesetengah orang, cara lain untuk mengelakkan diri daripada terjerumus dalam emosi tekanan adalah dengan mengelakkan daripada membaca laporan media berkaitan Covid-19, termasuklah kisah-kisah tekanan perasaan, kemurungan dan bunuh diri. Begitu juga dengan berita sedih dan meruntun hiba membabitkan kesusahan orang ramai di luar sana yang bergelut meneruskan kehidupan.

Khai bagaimanapun mempunyai pendapat berbeza apabila mengakui, penting untuk dirinya mengambil tahu isu sebegitu. Moralnya cuma satu, untuk mencambahkan rasa syukur atas nikmat yang diperolehinya selama ini.

“Apabila saya baca berita tentang kesukaran hidup orang lain, terus timbul dalam diri bahawa masalah yang saya hadapi tidaklah sebesar dan sehebat orang lain. Contohnya berita-berita viral, tentang orang yang tak cukup makan dan sebagainya.

“Sedikit sebanyak, apa yang dibaca dalam media sosial menyuntik kesedaran. Sekurang-kurangnya kita masih cukup makan dan pakai. Perkara sebegitu perlu ambil tahu, tetapi jangan terlalu difikirkan sangat,” katanya.

KHAI memandang peranan media sosial ketika ini sebagai medium untuknya menghiburkan peminat dengan kandungan menarik dan menceriakan suasana muram mengharungi pandemik.

Lagu seram pertama

Pandemik menghancurkan banyak harapan dan impian ramai orang, namun apa pun yang berlaku, hidup perlu diteruskan walaupun terpaksa mengambil masa sedikit lama untuk merealisasikan sesebuah pekerjaan.

Terbaharu, penyanyi berusia 27 tahun itu muncul dengan single berjudul Sengsara. Menariknya, menerusi Sengsara, Khai buat pertama kali membawakan sebuah lagu berkonsep seram.

“Lagu Sengsara menjadi titik perubahan dalam karya saya. Sebab sebelum ini saya tak pernah ada lagu seram. Alhamdulillah, lagu ini dijadikan runut bunyi asli (OST) untuk filem Dendam Penunggu yang ditayangkan menerusi platform tonton Cinema tidak lama lagi.

“Walaupun lagu ini disiapkan pada saat akhir dan dibikin dalam masa cukup singkat sebab kekangan PKP, tapi hasilnya sangat memuaskan.

“Saya teruja menyanyikan lagu ini sebab keistimewaannya terletak pada bahagian lirik. Lagu ini bukan mahu menggambarkan kewujudan makhluk ghaib atau menakutkan seperti hantu, tapi menceritakan tentang pembalasan dendam,” ceritanya.

Tambah pemilik nama lengkap Muhammad Khairul Baharuddin itu, walaupun lagu seram memberi cabaran baharu buatnya terutama dari segi penghayatan emosi, namun dia tidak menolak untuk menyanyikan lagi karya sebegitu pada masa depan.

“Agak susah menyanyikan lagu Sengsara sebab emosi yang disampaikan sangat lain. Saya perlu hayati emosi dan perasaan yang lebih sebab lagu ini berkisar tentang dendam. Emosi kena sampai kepada peminat.

“Jika sekali lagi diberi peluang membawakan lagu seperti ini, saya tidak menolak,” katanya ketika ditemu bual HibGlam baru-baru ini.

Pada masa sama, Khai turut berkongsi pencapaian yang diraihnya baru-baru ini apabila menerima anugerah menerusi JOOX Top Music Awards Malaysia (Mid Year) 2021 baru-baru ini.

Menerusinya, Khai memenangi dua buah kategori iaitu Top 5 Artists: Local dan Top Fans Pick yang menyaksikan dirinya menerima sebanyak 16.9 juta undian daripada peminat.

Kategori Top Fans Pick diperkenalkan buat pertama kali pada edisi kali ini dan undian dibuka sepenuhnya kepada peminat untuk memilih artis kesayangan mereka.

“Sebelum ini saya pernah dapat juga anugerah tapi untuk lagu. Kali ini, saya dapat untuk diri sendiri. Semuanya hasil undian peminat dan umlah penstriman dalam platform JOOX.

“Saya sangat bersyukur atas anugerah ini sebab semuanya adalah hasil usaha keras peminat yang mengundi. Saya sangat menghargai apa yang mereka lakukan,” katanya.

KATA Khai, perubahan budaya kerja yang rata-rata bergerak dari rumah agak menyukarkan lebih-lebih lagi jika projek melibatkan klien kerana terpaksa melakukan semua perkara secara sendiri tanpa bantuan pasukan produksi.

Projek tertunda

Selain Sengsara, Khai sepatutnya muncul dengan judul lain seperti perancangan awal dalam jadual kariernya.

Tetapi keterbatasan mewujudkan halangan sehingga menyebabkan pacuan kerjanya yang sepatutnya bergerak laju, terpaksa diperlahankan.

“Sepatutnya sekarang saya sudah lancarkan tiga buah lagu baharu. Tetapi sudah lebih setengah tahun, baru ada sebuah sahaja iaitu Sengsara.

“Situasi kita tak macam dahulu. Sekarang nak pergi studio rakaman pun susah. Apatah lagi nak adakan sesi perbincangan tentang lagu. Memang payah.

“Sebab itu banyak kerja tertangguh. Tapi nak buat macam mana, reda dan sabar sajalah,” katanya.

Selain nyanyian, pemenang trofi kategori Penyanyi Lelaki Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) selama tiga tahun berturut-turut sejak 2017 itu juga berdepan ‘pembekuan’ jadual lakonan.

Kongsi Khai, penglibatannya dalam sebuah drama baharu berjudul Shakira terbitan TV3 terpaksa dihentikan seketika susulan PKP.

“Sebelum PKP kembali dilaksanakan pada Jun lalu, saya sempat menjalani penggambaran selama tiga hari sahaja untuk drama tersebut.

“Karya berkenaan menyaksikan saya memegang watak utama yang kedua (second lead) bergandingan bersama Shukri Yahaya dan Janna Nick.

“Sebagai anak seni, sudah tentu saya mengharapkan agar keadaan kembali pulih dan kami dapat meneruskan kerja seperti biasa,” ujarnya menutup perbualan.

BUAT masa sekarang, Khai tidak terfikir langsung soal jodoh. Katanya, usahkan jodoh, nak pergi untuk ke kedai pun takut disebabkan Covid-19.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI