GUA MUSANG – Kira-kira 75 keluarga Orang Asli suku kaum Mendriq di Kampung Kuala Lah di sini, bersepakat mengumpul wang membeli lebih 100 Jalur Gemilang bagi menghiasi perkampungan mereka untuk menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan ke-64 tahun ini.
Meskipun negara masih berdepan pandemik Covid-19, namun itu bukan penghalang untuk mereka meraikan Bulan Kemerdekaan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Penghulu Kampung Orang Asli Kuala Lah, Ali Latif, 72, berkata, mereka meraikan Hari Kebangsaan dengan semangat perpaduan yang tinggi bersama 13 keluarga masyarakat Melayu apabila bekerjasama memasang Jalur Gemilang di kawasan kampung mereka.
Katanya, mereka berjaya mengumpul wang lebih RM100 dan hasil kutipan itu digunakan bagi membeli Jalur Gemilang untuk dihias di seluruh kawasan kampung.
“Kali ini kita tidak dapat berkumpul secara beramai-ramai dan hanya memasang bendera, manakala kanak-kanak pula berarak ke seluruh kampung membawa bendera.
“Biasanya kita buat sambutan satu kampung dengan main bunga api, menyanyi lagu kebangsaan dan bersewang,” katanya kepada pemberita di Kampung Kuala Lah, di sini semalam.
Penggerak Masyarakat Orang Asli Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Kuala Lah, Ahmad Zaini Dahlan Ab. Rahman berkata, penduduk Melayu dan Orang Asli dalam komuniti itu tidak pernah sunyi menyambut Hari Kebangsaan.
Katanya, walaupun sambutan Hari Kebangsaan kali ini agak hambar tetapi masyarakat tetap bersatu hati mengibar Jalur Gemilang di setiap rumah.
“Kami tetap bersemangat walaupun meraikan hanya secara sederhana bagi mengingati jasa pejuang terdahulu.
“Jasa mereka berjuang melawan musuh negara hingga terkorban untuk memerdekakan tanah air wajar disanjung,” katanya.