fbpx

Gagal sebab beraksi dalam kesakitan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JUN Hao menjelaskan bahawa pergerakan serta permainannya agak terbatas sebab beraksi dalam kesakitan susulan kecederaan pada pinggul bagi aksi final Divisyen 1 Kejohanan Jemputan BAM di Kuala Lumpur kelmarin.

PEMAIN perseorangan lelaki muda negara, Leong Jun Hao akhirnya mendedahkan punca kekalahannya kepada Ng Tze Yong pada perlawanan akhir Divisyen 1 Kejohanan Jemputan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) kelmarin.

Pada aksi final yang berlangsung di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara itu, Tze Yong meleburkan hasrat Jun Hao untuk memenangi kejohanan dalaman tersebut.

Jun Hao berkata, dia gagal menampilkan aksi sebenar kerana bermain dalam keadaan sakit selepas mengalami sedikit kecederaan pada pinggul ketika menentang Liew Daren pada perlawanan sulung.

“Sebenarnya, sebelum perlawanan akhir lagi memang saya sudah rasa sakit pada pinggul. Ia sudah berlarutan beberapa hari kerana saya cedera ketika bertemu Daren.

“Disebabkan itu, ia memang membataskan pergerakan serta permainan saya pada perlawanan semalam (kelmarin). Tiada apa yang boleh diceritakan me­ngenai perlawanan itu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Bagaimanapun, juara remaja Asia 2017 itu tetap berpuas hati dengan aksi keseluruhan yang ditampilkan sepanjang kejohanan tersebut berlangsung.

Pencapaian Jun Hao pada kejohanan itu boleh dianggap membanggakan apabila berjaya melangkah ke perlawanan akhir­ Divisyen 1 biarpun bermula dalam saingan Divisyen 2.

“Secara keseluruhan, memang saya puas hati dengan aksi yang ditampilkan sejak saingan Divi­syen 2 hingga ke perlawanan akhir­ semalam (kelmarin),” ujar­nya.

Sebagai rekod, kejohanan itu menyaksikan tiga pemain se­nior termasuk perseorangan lelaki No. 1 negara, Lee Zii Jia, Liew Daren dan Soong Joo Ven terpaksa menarik diri kerana me­ngalami kecederaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI