SETIU – Pembukaan rangkaian pulau peranginan di Terengganu yang dijadual pada awal bulan depan berkemungkinan terpaksa ditangguhkan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Terengganu, Ariffin Deraman berkata, penangguhan itu berikutan peningkatan kes harian Covid-19 di negeri sejak akhir-akhir ini.
Beliau berkata, setakat ini, lebih 70 kes positif Covid-19 telah dikesan di Pulau Perhentian, Besut sejak Ahad lalu.
“Pulau Perhentian telah dikenakan sekatan pergerakan dan sudah pasti pembukaan semula pulau itu perlu ditangguhkan sehingga kes reda.
“Bagi pulau-pulau peranginan lain, satu mesyuarat dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan diadakan pada waktu terdekat bagi memutuskan ketetapan baharu,” katanya di sini hari ini.
Selain Pulau Perhentian, pulau peranginan lain yang terdapat di Terengganu ialah Pulau Redang, Pulau Lang Tengah, Pulau Kapas dan Pulau Tenggol.
Kosmo! hari ini melaporkan Pulau Perhentian, Besut dikenakan sekatan pergerakan melibatkan semua 2,173 penduduknya berikutan penularan Covid-19 yang dikesan di pulau peranginan tersebut sejak Ahad lalu. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929