KETUA jurulatih perseorangan lelaki kebangsaan, Hendrawan percaya, perebutan tempat dalam skuad Piala Thomas menjadi faktor aksi mantap pemain negara pada Kejohanan Jemputan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) baru-baru ini.
Peningkatan prestasi terutamanya pemain-pemain seperti Cheam June Wei, Ng Tze Yong dan Leong Jun Hao berjaya mencuri tumpuan peminat sukan raket itu.
Justeru, Hendrawan mengakui beliau dan barisan kejurulatihan sememangnya menjadikan kejohanan tersebut sebagai salah satu platform bagi memilih pemain terbaik ke Piala Thomas 2020 di Denmark, Oktober depan.
“Apa yang saya lihat, kejohanan ini sangat bagus terutamanya dari segi kualiti perlawanan kerana pemain-pemain dilihat sangat berkobar-kobar untuk bermain.
“Saya fikir mereka mahu buktikan kemampuan untuk berada dalam skuad Piala Thomas. Mereka jadikan kejohanan ini sebagai platform untuk dipilih ke Piala Thomas,” kata Hendrawan.
Mengulas kecederaan yang menimpa perseorangan lelaki No.1 negara, Lee Zii Jia, Liew Daren dan Soon Joo Ven sehingga terpaksa menarik diri daripada kejohanan itu, beliau berpendapat, ia mungkin disebabkan kurang aksi kompetitif sebelum ini.
“Sebenarnya banyak faktor yang sebabkan kecederaan itu. Penilaian saya sebagai jurulatih melihat salah satu puncanya adalah pemain belum kembali ke tahap terbaik selepas lama tidak beraksi.
“Selain itu, jadual perlawanan yang agak padat turut menjadi faktor pemain mengalami kecederaan. Bagaimanapun, pemain perlu berdepan keadaan ini sekiranya mahu bergelar sebagai juara,” ujarnya.