fbpx

Sindiket edar dadah didalangi warga tempatan tumpas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara dadah yang berjaya dirampas dalam serbuan ke atas sindiket pengedaran dadah yang didalangi warga tempatan di ibu negara.

KUALA LUMPUR – Polis Kuala Lumpur berjaya melumpuhkan satu sindiket pengedaran dadah didalangi warga tempatan sekali gus merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM57,630 menerusi dua serbuan berasingan di ibu negara, Selasa lalu.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur, Superintendan Mohd. Shokri Abdullah berkata, serbuan dibuat hasil daripada risikan yang dilakukan selama dua minggu ke atas sindiket berkenaan yang dikesan aktif di sekitar Lembah Klang.

“Menerusi serbuan berkenaan, pihak polis telah berjaya menahan empat suspek termasuk seorang wanita yang kesemuanya berusia 23 hingga 30 tahun.

“Serbuan pertama yang dilakukan di kawasan parkir di Jalan Ritchie Off Jalan Ampang telah berjaya menahan seorang suspek dan merampas dadah jenis methamphetamine seberat 66.30 gram dan 50 biji pil erimin 5 seberat 13.70 gram,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas beliau, dadah berkenaan ditemui di dalam beg yang dipegang oleh suspek dan pihak polis turut merampas wang tunai berjumlah RM720.

“Hasil soal siasat yang dilakukan telah membawa pihak polis ke sebuah rumah di kawasan sama di mana pihak polis berjaya menahan tiga lagi suspek dan merampas dadah jenis methamphetamine (954 gram), ganja (376 gram) dan 1,000 biji pil erimin 5 (274 gram).

“Turut dirampas adalah wang tunai berjumlah RM300 dan siasatan awal polis mendapati rumah berkenaan dijadikan sebagai tempat penyimpanan dadah yang telah disewa selama tiga bulan oleh salah seorang suspek dengan kadar sewa RM2,800 sebulan,” ujar beliau.

Mohd. Shokri berkata, kesemua suspek yang didapati positif dadah jenis methamphetamine juga mempunyai rekod lampau berkait kes dadah serta jenayah dan mereka kini direman tujuh hari sehingga 31 Ogos ini. – K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI