KULAI – Seorang wanita serta tiga rakan berdepan hukuman gantung sampai mati apabila dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan dengan niat menyebabkan kematian seorang lelaki di Jalan Tan Yoke Fong, di sini, 16 Ogos lalu.
Tertuduh, Noorhaszieda Hasan, 32; Mohd. Hafize Mohamad Kassim, 36; Awalludin Abdul Hamid, 54 dan Tan Wei Cong, 25, mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Sharifah Maleeha Syed Hussin.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada keempat-empat tertuduh yang merupakan penganggur dan penagih dadah itu.
Mengikut kertas pertuduhan, kesemua tertuduh melaksanakan niat bersama telah menyebabkan kematian terhadap Nosaisain Muhamad, 46.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di antara pukul 7 pagi hingga 9.45 malam di rumah di Jalan Tan Yoke Fong 25, Taman Tan Yoke Fong, pada 16 Ogos lalu.
Bagi pertuduhan itu, mereka didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.
Pada 16 Ogos lalu, Kosmo! melaporkan Noorhaszieda mendakwa mangsa memasuki rumahnya di Jalan Tan Yoke Fong ketika dia sedang tidur pada pukul 8.30 pagi sebelum wanita itu menghubungi rakannya.
Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, lelaki itu dipukul hingga parah dan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru pada pukul 9.45 malam hari yang sama. -K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929