LISBON – Tonggak pertahanan Bayern Munich, Jerome Boateng menggesa rakan sepasukan agar terus fokus menjelang aksi separuh akhir Liga Juara-Juara menentang Olympique Lyon di Stadium Jose Alvalade awal pagi esok.
Bayern dianggap sebagai pasukan pilihan untuk melangkah ke pentas final selepas membelasah Barcelona 8-2 pada aksi suku akhir Sabtu lalu.
Justeru, Boateng berharap semua pemain Bayern menampilkan aksi sama sekiranya mereka berhasrat untuk memastikan tempat di perlawanan akhir.
“Saya tidak pasti pemain-pemain lain membaca akhbar ataupun tidak mengenainya (kemenangan ke atas Barcelona) tetapi saya tahu perlawanan itu sudah pun berlalu.
“Keputusan itu tidak berlaku setiap hari. Sekarang ia sudah tidak ada apa-apa makna lagi kerana kami akan beraksi dalam satu perlawanan lain. Kami mahu ke final,” kata Boateng.
Pada masa sama, pemain antarabangsa Jerman itu menggesa rakan sepasukan agar berwaspada dengan ancaman yang mampu diberikan Lyon pada perlawanan esok.
“Sudah tentu kami terkejut dengan prestasi Lyon kerana mereka sudah singkirkan Juventus dan Manchester City, jadi kami perlu tampilkan aksi sama seperti sebelum ini,” ujarnya. – AGENSI