PETALING JAYA – Pengasas bersama sebuah klinik swasta berkongsi keadaan pelakon, Sherie Merlis yang kelihatan terlalu penat, lesu dan pucat ketika pasukannya mengunjungi keluarga aktres itu yang sedang menjalani kuarantin di kediaman mereka.
Datin Ummul Khairiyah Abdul Rahman menerusi akaun Instagram @kai_kaklong berkongsi, beliau dihubungi Sherie melalui panggilan video yang ingin bertanya mengenai keadaan ibunya.
“Pada ketika ini Sherie sedang menjaga ibu yang terlantar, bapa yang kurang sihat, dua anaknya serta dua lagi anak saudara.
“Kak Long tanya bila kali terakhir Sherie makan atau sempat tidur dan Sherie tidak memberi respons yang baik selain menunjukkan simptom ‘burnout’ yang amat ketara,” tulisnya semalam.
Katanya, apabila tiba, Sherie berjalan dalam keadaan terhuyung-hayang dan petugas kesihatan memberinya air coklat suam namun dia hanya merenung minuman tersebut sebelum memintanya untuk baring dan cuba tidur.
“Sherie asyik terkejut, terjaga selain bercakap dalam keadaan mamai yang dia perlu bangun menguruskan ibunya, beri makan anak-anak, urus rumah dan macam-macam lagi.
“Allah luluhnya hati Kak Long melihat keadaan Sherie. Sherie dapat tidur-tidur ayam tidak sampai sejam sudah bangun,” ujarnya.
Beliau berkata, pihaknya telah membantu menempatkan dua petugas kesihatan bagi memantau ibu Sherie sehingga pagi ini kerana pelakon itu perlu berehat dan mendapatkan semula tenaganya.
“Tidak mudah menjaga (ibu) tiga kali sehari angkat dari katil dudukkan ke kerusi. Proses beri makan dan minum ambil masa dekat sejam. Tukar lampin, pembalut luka.
“Patutlah Sherie ‘burnout’ urus semua ini seorang diri. Semua yang masuk keluar rumah perlu pakai PPE (Peralatan Perlindungan Diri) kerana semua dalam rumah kontak rapat,” ujarnya.
Ahad lalu, Kosmo! melaporkan, adik perempuan Sherie bersama suami dan dua anak yang positif Covid-19 telah dihantar ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah Swasta (PKRCS) di ibu kota. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929