DUSSELDORF – Penggempur utama Inter Milan, Romelu Lukaku memberi amaran bahawa pasukan itu akan turun ke saingan final Liga Europa hanya untuk memastikan kemenangan dan membawa pulang kejuaraan ke San Siro.
Lukaku berjaya meledak dua gol ketika membantu pasukan itu membenam cabaran Shakhtar Donetsk 5-0 pada aksi separuh akhir awal pagi semalam sekali gus dilabel sebagai pasukan pilihan menjulang trofi Liga Europa musim ini.
“Pasukan ini telah beraksi dengan baik dan semua pemain telah memberikan aksi yang maksimum kerana kami melakukan persiapan rapi untuk meraih kemenangan.
“Ia suatu yang membebankan kami tetapi kini kami mula melihat hasilnya. Secara fizikal dan taktikal kami berada pada tahap tertinggi dan terus bergerak untuk memastikan prestasi itu kekal.
“Pada aksi tersebut, kami sedar Shakhtar memiliki kelebihan dari segi kombinasi tetapi kami berjaya memantapkan benteng tengah dan menggunakan fizikal untuk mengatasi mereka.
“Pada separuh masa kedua, kami mula menunjukkan kelebihan yang dimiliki dan bermain dengan gaya kami untuk memusnahkan mereka,” katanya.
Dua gol tersebut menyaksikan Lukaku menjadi pemain pertama menjaringkan gol dalam 10 aksi berturut-turut di pentas Eropah dan mengumpul 33 gol bersama Inter dalam semua kejohanan selepas menyertai pasukan itu.
“Saya fikir semuanya berjalan lancar dan memecahkan rekod sentiasa menjadi perkara yang istimewa tetapi pada akhirnya kemenangan pasukan adalah keutamaan,” jelasnya. – AGENSI