KETUA Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysian Football League (MFL) yang baharu, Stuart Ramalingam sedar tugas berat menanti beliau dalam usaha menaikkan martabatkan bola sepak negara.
Bekas Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) itu berkata, beliau positif dengan cabaran yang bakal dihadapi kerana menganggap bola sepak sudah sebati dalam dirinya.
Stuart juga percaya, sudah tiba masanya untuk beliau beralih angin selepas bekerjasama serta mendapat tunjuk ajar daripada Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin sepanjang tiga tahun bersama badan induk bola sepak negara.
“Saya merupakan seorang yang sangat cintakan bola sepak, jadi atas sebab itu, saya terima tugas ini. Saya ambil cabaran ini kerana percaya mampu untuk lakukan perubahan pada masa hadapan.
“Bagi saya, sudah tiba masanya untuk bergerak ke hadapan selepas menerima tunjuk ajar serta asuhan Presiden (Hamidin) yang membentuk saya selama ini,” katanya pada sidang media secara maya semalam.
Stuart dilantik sebagai CEO MFL baharu bagi menggantikan penyandang terdahulu, Datuk Ab. Ghani Hassan yang dipilih sebagai Presiden badan pengendali Liga Malaysia itu.
Dalam pada itu, Stuart turut menegaskan, pelantikannya itu tidak dibayangi oleh abangnya, Kevin Ramalingam yang pernah menjawat jawatan tersebut sebelum ini seperti yang didakwa netizen.
“Saya lihat Kevin sebagai mantan CEO, tetapi kami adalah dua orang berbeza, tidak mungkin saya boleh ulang apa yang beliau lakukan. Memang saya tahu akan ada pandangan sebegini apabila saya terima tugas tersebut.
“Ketika saya masuk ke FAM pun, ramai yang mempertikaikan kemampuan saya tetapi saya berjaya buktikan. Saya tidak salahkan netizen kerana inilah bola sepak. Objektif sekarang adalah untuk buat yang terbaik demi bola sepak Malaysia,” ujarnya.