JOHOR BAHRU – Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.
Itulah perumpamaan tepat menggambarkan dugaan ditempuhi Belinda Abu Bakar, 44, yang terpaksa menjaga ibunya, Saadiah Omar, 68, yang diserang angin ahmar dalam masa sama terpaksa menjaga adiknya, Kamaruddin, 30, yang merupakan orang kelainan upaya (OKU).
Menjaga kedua-dua adik dan ibunya sudah menjadi tanggungjawab Belinda yang perlu memberi tumpuan penuh kepada mereka yang memerlukan penjagaan rapi seperti menjaga anak kecil.
Menurut Belinda, ibunya yang mengalami penyakit angin ahmar sejak 2005 lumpuh bahagian kanan badannya serta mengalami kesukaran bergerak dan perlu memakai lampin dewasa.
Sementara itu, adiknya pula yang tidak mempunyai kemahiran berfikir perlu diberi makan secara bersuap selain kerap diserang sawan serta berkelakuan agresif.
Kehidupan ibu kepada dua orang anak itu terus diduga apabila kilang pengeluar permainan, tempatnya bekerja tidak dibenarkan beroperasi sejak Mei lalu kerana tidak termasuk dalam kategori perkhidmatan perlu dan hanya menerima separuh gaji iaitu sebanyak RM645 sebulan.
“Keadaan ini menyebabkan kehidupan kami sekeluarga terus terhimpit. Ada masanya kami terputus bekalan makanan dan hanya makan nasi berlaukkan telur goreng.
“Mujurlah anak sulung sudah bekerja di sebuah klinik di Jalan Tebrau, dapatlah juga membantu membayar bil api dan air serta membeli keperluan untuk nenek yang memakai tiga helai lampin sehari.
“Orang luar mungkin nampak kami hidup senang, namun mereka tidak tahu kami sekadar cukup makan sahaja dan terpaksa bergantung kepada bantuan orang,” ketika ditemui di rumahnya di Jalan Permas Jaya 7/11, Masai di sini baru-baru ini.
Belinda antara 20 keluarga yang menerima sumbangan program We Care, We Share berbentuk barangan basah seperti sayur dan ikan serta sejumlah wang tunai.
Bagi mereka yang ingin membantu, menghubunginya di talian 016-948 3290 atau terus menghulur sumbangan ke akaun Alliance Bank di atas nama Belinda bernombor 010370021387015.