fbpx

10 lelaki dicekup di banglo, tipu belian online

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara barang yang dirampas oleh pihak polis.

MELAKA – Seramai 10 ahli sindiket penipuan pembelian barangan elektrik dalam talian diberkas polis dalam serbuan di sebuah rumah banglo di Klebang, di sini, Jumaat lalu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang itu, kesemua suspek yang ditahan berusia antara 19 hingga 36 tahun dengan dua daripadanya merupakan warga China.

Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd. Ali berkata, hasil risikan, kesemua individu terbabit menjalankan kegiatan itu dengan menyasarkan pembeli dari China yang menggunakan platform e-dagang negara terbabit.

Katanya, sindiket tersebut dipercayai aktif sejak Jun lalu dan melakukan penipuan dengan anggaran kerugian mencecah RM200,000 dalam tempoh tersebut.

“Kesemua ahli sindiket yang dicekup dibayar gaji antara RM2,500 sehingga RM3,000 dan melakukan kerja-kerja ‘like dan share’ untuk menaikkan rating barangan bagi mempengaruhi pembeli.

“Mangsa yang terpedaya kemudian membeli produk tersebut, namun barangan elektrik berkenaan tidak pernah diposkan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka, di sini hari ini.

Tambahnya, polis turut merampas pelbagai barang kes yang dipercayai digunakan dalam aktiviti penipuan itu termasuk dua set komputer, enam komputer riba, lima telefon bimbit, satu passport dan tiga buku nota mempunyai senarai nama pelanggan.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, kesemua suspek juga sanggup duduk berkurung di dalam rumah tersebut bagi mengelak kegiatan mereka dihidu pihak berkuasa.

“Kesemua suspek telah ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas kesalahan menipu,” katanya.

Katanya, dua suspek warga China turut disiasat mengikut Seksyen 15(1) ( C) Akta Imigresen 1959/63 atas kesalahan tinggal di Malaysia setelah pas tamat dan Seksyen 6(1)( C) Akta Imigresen 1959/63 atas kesalahan masuk dan tinggal di Malaysia tanpa pas atau premit yang sah. – K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI