IPOH – Bilangan mangsa banjir di Perak kekal pada 241 orang melibatkan 66 keluarga setakat pukul 2 petang hari ini di tiga pusat pemindahan sementara (PPS) di dua daerah.
Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri berkata, bilangan mangsa di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Lobak dalam daerah Kerian paling ramai iaitu 111 orang daripada 26 keluarga.
“Mereka adalah penduduk dari Kampung Matang Tengah dan sebahagian penduduk Kampung Parit Simpang Lima, Alor Pongsu, yang rumah mereka dinaiki air,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, bilangan mangsa banjir di PPS SK Alor Pongsu juga dalam daerah Kerian, menempatkan 60 orang daripada 17 keluarga.
Jelasnya, bilangan mangsa di daerah Larut Matang dan Selama (LMS) kekal 70 orang daripada 23 keluarga yang ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Matang.
“Mereka adalah penduduk dari Kampung Sungai Rentaka, Teluk Kertang; Kampung Melawati; Kampung Jebong Kiri; Kampung Changkat Baru dan Kampung Tebuk yang masih ditenggelami air,” ujarnya. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929