MELAKA – Seorang pengendali kren menemui ajal ketika sedang berehat di bawah pokok di Jalan Kelicap, Kampung Bukit Katil Melaka, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.20 pagi itu, mangsa, Mohd. Rashidin Mohd. Zin, 48, ditemui dalam keadaan terbaring dan tidak sedarkan diri oleh rakan sekerjanya.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, pihak polis menerima panggilan berhubung kejadian pada pukul 11.30 pagi dan sepasukan polis telah dikejarkan ke lokasi untuk pemeriksaan.
“Setiba di lokasi polis mendapati mangsa telah terbaring di tepi jalan tempatnya bekerja dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Klinik Kesihatan Ayer Keroh Melaka.
“Hasil soal siasat saksi iaitu rakan sekerjanya, mangsa dikatakan tiba-tiba rebah dan tidak sedarkan ketika sedang berehat selepas mengendalikan kren,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, saksi mendakwa telah cuba memberikan bantuan pernafasan (CPR), namun tidak berjaya.
“Pihak ambulan dan pejabat kesihatan daerah telah berhubung dengan waris dan mengesahkan si mati tidak terlibat kontak rapat dengan pesakit Covid-19.
“Mayat mangsa telah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929