SPIELBERG – Pelumba Repsol Honda, Marc Marquez terpaksa melupakan Grand Prix (GP) Styria pada hujung minggu ini sekali gus terlepas aksi buat kali ketiga berturut-turut musim ini.
Juara dunia MotoGP enam kali itu ketika ini masih dalam proses pemulihan akibat kecederaan lengan yang dialami pada perlumbaan pembukaan di Grand Prix (GP) Sepanyol.
Dia terpaksa menjalani pembedahan kedua selepas plat titanium yang dipasang pada pembedahan pertama tertanggal.
Pasukan Honda dalam satu kenyataan semalam mengesahkan pelumbanya itu tidak akan menyertai perlumbaan minggu ini untuk memastikan Marquez benar-benar sihat dengan menjalani proses pemulihan selama tiga minggu sebelum menyertai GP San Marino.
“Perlumbaan minggu ini baik kerana ada tambahan mata dan Stefan Bradl akan menggantikan tempat Marquez di GP Styria. Marquez akan menjalani proses pemulihan dan pasukan tidak mahu mengambil risiko membenarkannya beraksi,” menurut kenyataan tersebut.
Honda akan terus fokus kepada cabaran Alex Marquez dan pelumba gantian, Stefan Bradl, namun kedua-dua pelumba tersebut bergelut apabila masing-masing menamatkan saingan tangga ke-13 dan Bradl (17) di GP Austria.
Marquez masih belum meraih sebarang mata musim ini dan ketinggalan 67 mata dengan pelumba Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT), Fabio Quartararo. – AGENSI