JAKARTA – Penduduk di sebuah perkampungan di Probolinggo, Jawa Timur, Indonesia gempar selepas seorang kanak-kanak perempuan yang disahkan meninggal dunia selama beberapa jam tiba-tiba hidup semula semasa jenazahnya hendak dimandikan, lapor laman berita suara.com semalam.
Kanak-kanak tersebut, Siti Masfufah Wardah yang berusia 12 tahun bagaimanapun dilaporkan meninggal dunia sekali lagi selepas sejam hidup semula.
Menurut laporan Batamnews.co.id, Siti Masfufah dilaporkan meninggal dunia ekoran masalah diabetes dan komplikasi organ yang dihidapinya.
“Ketika hendak dimandikan, tiba-tiba jantung arwah berdegup semula sehingga membuatkan orang ramai termasuk ahli keluarganya terkejut,” kata seorang penduduk kampung.
Bagaimanapun, selepas sejam diberikan bantuan pernafasan dan oksigen oleh anggota perubatan yang dipanggil ke lokasi, kanak-kanak perempuan itu sekali lagi disahkan telah meninggal dunia.
Menurut petugas perubatan, kejadian ‘jenazah hidup semula’ bukanlah hal yang jarang berlaku dan ia boleh terjadi disebabkan oleh beberapa faktor.
Salah satunya adalah disebabkan oleh sindrom Lazarus atau return of spontaneous circulation (ROSC) yang berlaku pada pesakit yang meninggal akibat serangan jantung.
Laporan ahli perubatan menyebut, 82 peratus kejadian ROSC berlaku selepas 10 minit seseorang itu disahkan meninggal dunia selepas diberikan bantuan pernafasan.
“Terdapat beberapa faktor seperti tekanan yang terkumpul di dada ketika bantuan pernafasan dibuat.
“Faktor lain ialah hiperkalemia iaitu kadar kalium yang tinggi dalam darah,” ujar seorang pakar perubatan. – Agensi