SPIELBERG – Pelumba Itali, Andrea Dovizioso mengakui kemenangan yang diraihnya di Grand Prix (GP) Austria pada Ahad lalu tidak membawa sebarang makna terutama soal masa depannya bersama pasukan Ducati selepas membuat keputusan untuk meninggalkan pasukan tersebut.
Pengurusnya, Simone Battistella mengumumkan bahawa Dovizioso enggan menyambung kontrak dengan Ducati ketika sesi kelayakan di litar Red Bull Ring pada Sabtu lalu.
Naib juara tiga kali MotoGP itu enggan mendedahkan secara terperinci mengenai tindakannya enggan menyambung kontrak pada musim depan bersama pasukan pengeluar itu sejak menyertai Ducati pada musim 2013 lagi.
Difahamkan, Dovizioso meninggalkan pasukan Ducati selepas tidak berpuas hati dengan terma gaji yang ditawarkan pasukan dari Itali itu yang dikatakan berdepan kemelut kewangan akibat Covid-19.
“Kami sebelum ini pernah meraih kemenangan di sini (GP Austria). Kemenangan ini tidak mengubah apa-apapun terutama mengenai soal kontrak,” kata Dovizioso.
Dovizioso meraih kemenangan pertamanya musim ini selepas mengatasi Joan Mir (Suzuki Ecstar) dan Jack Miller (Ducati) yang masing-masing menamatkan saingan di tempat kedua dan ketiga.
Hasil kemenangan tersebut, Dovizioso kini berada pada ranking kedua carta kedudukan pelumba apabila meraih 56 mata dan hanya dibezakan 11 mata dengan pendahulu perlumbaan, Fabio Quartararo (Petronas Yamaha SRT). – AGENSI