GEORGE TOWN – Operasi sebuah kuari di Mukim 12, Sungai Ara di sini didakwa menjejaskan keselamatan dan kesihatan ribuan penduduk di kawasan berhampiran.
Ini kerana, lokasi aktiviti berkenaan dikatakan terlalu hampir dengan beberapa kawasan perumahan yang padat dengan sebahagiannya berjarak hanya kira-kira 200 meter.
Bahkan, ada penduduk mendakwa terdapat sisa batu yang terpelanting sehingga menyebabkan kerosakan pada bumbung rumah.
Seorang penduduk di Setia Pulau Mutiara III, Askin Meera, 55, berkata, dia dan keluarga berdepan ancaman itu sejak mula menetap di kawasan berkenaan sejak kira-kira tujuh tahun lalu.
Menurutnya, keadaan semakin buruk sejak awal tahun ini apabila aktiviti pemecahan bongkah batu semakin giat sehingga menyebabkan keretakan pada dinding dan lantai rumah penduduk selain habuk dan batu ‘terbang’ yang membahayakan.
“Kami juga bimbang dengan lori-lori yang membawa muatan bahan batuan kuari yang boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya di kawasan perumahan.
“Malah, bunyi letupan kuat dan luar biasa dipercayai daripada projek kuari tersebut turut mengganggu ketenteraman,” katanya kepada pemberita hari ini.
Menurutnya, penduduk di kejiranan Setia Pulau Mutiara I, II dan III, serta Stramax Residences yang terjejas dengan operasi kuari itu telah menghantar surat kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow pada 23 Julai lalu bagi menyuarakan bantahan mereka.
Selain itu katanya, penduduk juga telah membuat aduan dan bantahan serta menghadiri mesyuarat dengan pihak berkuasa sejak beberapa bulan lalu, namun tiada tindakan tegas diambil setakat ini.
Sementara itu, Presiden Sahabat Alam Malaysia, R. Meenakshi menggesa pihak berwajib khususnya Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Pejabat Tanah dan Galian negeri dan Jabatan Alam Sekitar memandang serius kebimbangan penduduk dan mengkaji semula operasi kuari tersebut.
“Difahamkan operasi kuari itu adalah berkaitan dengan kerja tanah untuk pembangunan projek perumahan baharu di situ.
“Pengalaman telah menunjukkan pembangunan di lereng bukit boleh membawa padah sekiranya berlaku gelongsoran tanah, lebih-lebih lagi semasa musim hujan lebat ini,” katanya. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929