TEMERLOH – Polis giat melakukan siasatan bagi memburu suspek yang menyamun sebuah kedai serbaneka di Taman Chengal di sini pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.26 pagi itu suspek yang memakai topi keledar dan bersenjatakan pisau memasuki kedai serbaneka berkenaan sebelum menyamun seorang pekerja wanita yang bertugas.
Berdasarkan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) menunjukkan seorang lelaki bersenjatakan pisau meluru masuk ke kedai serbaneka berkenaan dan mengarahkan pekerja wanita yang sedang menyapu mengeluarkan duit daripada kaunter pembayaran.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd. Azhar Mohd. Yusof berkata, polis telah meneliti kamera litar tertutup (CCTV) berkenaan dan giat mengesan suspek.
“Kita percaya suspek yang bergegas masuk ke dalam kedai serbaneka melarikan diri dengan menaiki sebuah motosikal.
“Berdasarkan siasatan mendapati suspek melarikan wang tunai berjumlah RM50 yang diserahkan oleh seorang pekerja wanita selepas dipaksa oleh suspek yang bersenjatakan pisau,” katanya di sini hari ini.
Menurut Mohd. Azhar, polis sedang giat mengesan dan mengenal pasti suspek yang terlibat dalam kes samun ini.
Katanya, pihak polis juga meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek agar tampil menyalurkan maklumat. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929