PETALING JAYA – Pelakon Liyana Jasmay menyifatkan segelintir golongan antivaksin yang membuat eksperimen sosial baru-baru ini sebagai individu tidak bertanggungjawab kerana tidak memikirkan keselamatan orang lain.
Meluahkan rasa kecewanya menerusi satu perkongsian InstaStorynya semalam, Liyana, 33, berpendapat tindakan tidak bertanggungjawab tersebut tidak sepatutnya berlaku kerana akan membawa pengaruh buruk kepada individu lain.
“Ini adalah contoh orang yang tak bertanggungjawab dan merasakan virus Covid-19 ini sebagai bahan lawak.
“Kepada golongan anti vaksin, itu ialah pilihan anda tetapi jangan nak buat eksperimen begini dan rasa awak seorang yang hebat,” katanya.
Tambah Liyana yang juga seorang penerbit dan pengarah, berasakan eksperimen sosial yang dilakukan individu berkenaan juga mampu memberi kesan bahaya terhadap masyarakat sekeliling.
“Tindakan ini membahayakan keselamatan orang lain dan Covid-19 bukan perkara yang kelakar.
“Masya-Allah, semoga terbuka hati keluarga anda untuk fikirkan keselamatan orang lain,” tulisnya.
Menerusi hantaran sama, dia yang pernah dijangkiti Covid-19 bersama suaminya, Fathuddin Mazlan pada bulan lalu itu juga tidak mahu orang lain melalui situasi sama sepertinya.
“Saya dan suami positif Covid-19 tiga minggu lalu, seboleh-bolehnya kami tidak ingin orang lain lalui nasib yang sama.
“Ketika dijangkiti Covid-19, kami berdua sudah menerima dos pertama vaksin AstraZeneca. Selesai kuarantin, kami segera dapatkan dos kedua dan kuarantin lagi 14 hari untuk kendiri badan.
“Semua perlu sama-sama bertanggungjawab untuk semua yang kita lakukan, janganlah buat perkara tanpa berfikir dahulu,” ujarnya.
Semalam, Kosmo! melaporkan individu yang memuat naik hantaran mengenai eksperimen sosial sehingga tular dalam media sosial itu telah ditahan pihak polis. – K! ONLINE