SEBERANG PERAI – Peningkatan tempahan yang diterima bagi baju tidur wanita di bawah jenama Fuza Nitewear telah memberi dorongan kepada pengasas koleksi tersebut untuk mempelbagaikan lagi produk kepada segmen baju tidur lelaki, pasangan atau kanak-kanak pada masa depan.
Usahawan, Mahfuzah Ahmad Jalaludin, 36, yang menjadikan perniagaan tersebut sebagai pendapatan tambahan selain bekerja sebagai penjawat awam kini tidak menang tangan menerima tempahan daripada pelanggan secara online.
Beliau memilih perniagaan baju tidur wanita kerana ia memiliki permintaan daripada penggemar fesyen baju tidur terkini berdasarkan kepada trend semasa.
“Sehingga kini, lebih daripada 50 set pakaian tidur yang disertakan bersama headband (pengikat kepala) telah dijual.
“Ini memberikan keyakinan kepada saya untuk lebih serius dalam bidang perniagaan ini kerana permintaan yang diterima sangat menggalakkan walaupun persekitaran ekonomi negara yang kini semakin mencabar,” katanya ketika ditemui di Bukit Mertajam baru-baru ini.
Mahfuzah berkata, diperbuat daripada fabrik satin, Fuza Nitewear nampak lebih eksklusif dengan pilihan saiz S hingga L selain warna yang menarik.
Koleksi tersebut ditawarkan pada harga serendah RM49 sehelai.
Beliau kini menggunakan platform e-dagang seperti Shopee untuk memasarkan produknya nya.
Syarikatnya turut menawarkan peluang perniagaan kepada mereka yang berminat untuk menjadi ejen dropship bagi membantu usahawan menambah pendapatan bulanan.