Oleh PETAH WAZZAN ISKANDAR
PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) mendedahkan seramai 100 daripada 300 Pegawai Perubatan kohort ketiga menolak pelantikan tetap yang baharu dilaksanakan bulan ini.
Ketua Setiausaha KKM, Datuk Mohd. Shafiq Abdullah berkata, pelantikan tetap melibatkan seramai 300 Pegawai Perubatan daripada kohort ketiga (lantikan 15 Mei 2017) yang layak dipertimbangkan telah ditawarkan pelantikan tetap dengan penempatan disediakan kementerian mengikut keperluan semasa.
Katanya, pihaknya memandang serius perkara tersebut kerana peluang pelantikan tetap tidak sepatutnya dilepaskan ketika doktor kontrak mengemukakan tuntutan kepada kerajaan supaya melantik mereka secara tetap.
“Baki seramai 100 orang pegawai yang tidak melapor diri bertugas melibatkan 85 pegawai perubatan menolak tawaran dan 15 pegawai lagi meletak jawatan berikutan mendapat tawaran lain.
“Susulan penolakan tawaran itu, tawaran pelantikan tetap kali kedua tidak lagi akan ditawarkan kepada pegawai berkenaan bagi memberi peluang kepada pegawai lain yang masih menunggu giliran untuk dilantik tetap,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohd. Shafiq berkata, bagi 100 kekosongan jawatan tetap di Sabah dan Sarawak, pengisian segera akan dibuat dalam kalangan baki calon dalam kohort ketiga (lantikan 15 Mei 2017) setelah mendapat kelulusan pelantikan daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam.
Katanya, seramai 200 pegawai bersetuju menerima tawaran tersebut dan sudah ditempatkan di lokasi yang mempunyai kekosongan dengan 150 pegawai iaitu baki 19 pegawai kelahiran Sabah dan 131 pegawai kelahiran semenanjung ditawarkan pelantikan tetap dengan penempatan di Sabah.
“Bagi 150 pegawai kelahiran semenanjung dilantik tetap dengan penempatan di Sarawak. Semua anak kelahiran Sarawak dalam kohort lantikan ini telah pun dilantik tetap dalam urusan terdahulu.
“Sejak lantikan pertama secara tetap Pegawai Perubatan pada tahun 2018 hingga kini, jumlah keseluruhan pegawai yang telah ditawarkan pelantikan tetap adalah seramai 1,089 orang,”katanya. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929