KOTA BHARU – Seorang warga emas maut selepas digilis tayar belakang sebuah lori ketika cuba memotong kenderaan berat itu melalui bahu jalan di Kampung Kemumin, Panchor di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 pagi itu, mangsa Md. Salah @ Md. Salleh Omar,69, meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, siasatan awal mendapati, warga emas itu menunggang motosikal jenis Yamaha Ego Solariz sedang dalam perjalanan dari arah lampu isyarat Panchor ke Panji
Katanya, apabila tiba di lokasi kejadian, pemandu lori berusia 50 tahun yang berada dari arah sama dipercayai telah berhenti untuk memberi laluan kepada sebuah bas kerana keadaan jalan yang sesak ketika itu.
“Bagaimanapun, mangsa dipercayai cuba memotong lori berkenaan melalui bahu jalan sebelum motosikalnya bergesel dengan bahagian sisi kiri belakang kenderaan berat itu.
“Insiden itu menyebabkan warga emas itu terjatuh sebelum digilis tayar belakang lori tersebut,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Beliau meminta kerjasama orang ramai yang melihat kejadian itu supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohd. Ikhwan Mamat di talian 09-775 2200 untuk siasatan lanjut. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929