BERLIN – Polis Jerman melancarkan siasatan terhadap ‘cubaan membunuh’ hari ini selepas kes keracunan di sebuah universiti menyebabkan seorang pelajar kritikal dan enam yang lain memerlukan rawatan perubatan.
Semua mangsa di Universiti Teknikal Darmstadt itu memakan makanan atau minuman yang dicampur ‘bahan berbahaya’ terutama dalam paket susu dan bekas air.
Polis berkata, paket susu dan bekas air adalah antara barang yang diracuni pada hujung minggu lalu dengan bahan kimia yang digunakan mempunyai ‘bau yang menyengat.’
Bangunan yang terjejas ditutup polis dan sebarang bahan makanan di lokasi kejadian dirampas untuk siasatan.
Belum ada mangsa lain yang tampil, namun seorang pelajar berusia 30 tahun berada dalam keadaan kritikal semalam, kata polis.
Pihak berkuasa menyeru sesiapa sahaja yang menunjukkan gejala atau anggota badannya berubah menjadi kebiruan supaya segera mendapatkan bantuan perubatan.
“Kami terkejut dengan jenayah yang berlaku di universiti kami,” kata presiden institusi itu, Tanja Bruehl dalam satu kenyataan. – AFP