MANILA – Presiden Filipina, Rodrigo Duterte akan bertanding kerusi naib presiden pada pilihan raya tahun depan, kata partinya hari ini selepas spekulasi berbulan-bulan sama ada beliau akan berusaha untuk terus berkuasa.
Duterte yang dipilih untuk jawatan Presiden Filipina pada tahun 2016, dilarang di bawah perlembagaan untuk meneruskan penggal seterusnya. Beliau sebelum ini menolak kemungkinan bertanding untuk jawatan kedua tertinggi itu.
“Presiden Rodrigo Roa Duterte bersetuju untuk melakukan pengorbanan dan menyahut gesaan rakyat serta menerima sokongan Parti PDP Laban agar beliau mencalonkan diri untuk kerusi naib presiden pada pilihan raya 2022,” kata parti itu dalam satu kenyataan.
Parti PDP Laban juga dijangka menyokong penasihat utama Duterte, Senator Christopher Lawrence “Bong” Go untuk menjadi calon Presiden Filipina.
Duterte belum menyatakan secara terbuka bahawa beliau akan bertanding tetapi presiden PDP-Laban, Alfonso Cusi memberitahu agensi berita AFP: “Beliau mengesahkan akan mencalonkan diri sebagai naib presiden pada tahun 2022.”
Naib presiden dan presiden dipilih secara berasingan di Filipina. Naib presiden akan dilantik memegang jawatan tertinggi tersebut sekiranya Presiden Filipina sama ada meninggal dunia, tidak upaya, atau mengundurkan diri semasa berkuasa.
Sepanjang pemerintahannya, Duterte, 76, melancarkan perang keras terhadap penagih dan pengedar dadah dengan kumpulan-kumpulan hak asasi manusia mendakwa bahawa beliau telah membunuh berpuluh-puluh ribu orang. – AFP