PELAWAK dan pengacara tersohor, Nabil Ahmad mengakui bahawa pelaksanaan moratorium sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyelamatkan dirinya daripada ditenggelami hutang.
Nabil, 36, berkata, dia yang tidak mempunyai sebarang tawaran kerja sepanjang PKP agak bergelut membayar hutang piutang yang sedia ada.
“Secara jujurnya, moratorium yang diperkenalkan oleh kerajaan sangat membantu kerana saya mempunyai komitmen hutang seperti rumah dan kereta yang tinggi.
“Mungkin orang ingat artis kaya dan tidak mempunyai masalah kewangan tetapi salah sebenarnya tanggapan itu,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Sugarbomb X LUPK X Achey di Ruang, Shah Alam, baru-baru ini.
Tambah Nabil, sepanjang PKP juga, ramai kawan-kawan rapat meminta pertolongan wang ringgit daripadanya kerana kehilangan pekerjaan.
“Saya cuba bantu sebanyak boleh tetapi terbatas. Kebetulan pada waktu itu, saya sudah bekerjasama dengan Sugarbomb bagi cecair pewangi udara maka saya bagi mereka kerja.
“Lebih baik tolong mereka berniaga daripada asyik hulurkan wang sahaja,” katanya lagi.
Hasil kerjasama Nabil dan Sugarbomb, sebanyak 130,000 botol cecair pewangi udara laris terjual setiap minggu sejak diperkenalkan hampir tujuh bulan lalu.
Terbuka
Menyentuh sedikit soal kerja, sudah lebih enam bulan Nabil mengendalikan program hiburan MeleTOP tanpa rakan pengacara tetap.
Sejak Neelofa meninggalkan rancangan tersebut pada Disember tahun lalu, tempatnya diisi oleh beberapa hos jemputan yang bertukar-tukar setiap minggu.
Mengulas tentang situasi tersebut, Nabil berkata, dia tidak berasa ralat kerana memahami pihak produksi mempunyai strategi pemasaran tertentu.
“Saya okey sahaja kerana hos jemputan yang diundang pihak produksi semuanya bagus.
“Namun saya akui, saya merindui Neelofa. Lapan tahun kami bekerjasama jadi untuk mendapatkan keserasian yang sama dengan gandingan baharu memang agak sukar,” jelasnya.
Antara selebriti yang kerap dipanggil untuk bergandingan dengan Nabil ialah Nora Danish, Sherry Al-Hadad dan Elly Mazlein.