Pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selaku Perdana Menteri Malaysia kesembilan baru-baru ini membawa harapan baharu kepada rakyat.
Harapan utama rakyat tentu sekali mahu kerajaan baharu yang diterajui Ahli Parlimen Bera itu akan menyelesaikan masalah rakyat yang sudah terlalu terbeban dengan isu kehilangan sumber pendapatan dan keletihan mental akibat Covid-19.
Sebelum ini, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah agar pelantikan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri baharu boleh segera mengakhiri kemelut politik negara.
Seri Paduka Baginda juga menzahirkan harapan besar agar kesemua Ahli Dewan Rakyat boleh bersatu hati dan mengenepikan agenda politik dan memberi penekanan terhadap langkah-langkah menangani Covid-19.
Pakatan Harapan dalam satu kenyataan pula dilihat akan mengambil pendirian terbuka untuk berunding dan bekerjasama demi kepentingan rakyat.
Semua rakyat sememangnya berharap agar semua pemimpin dan parti politik bersepakat untuk menyelamatkan Keluarga Malaysia daripada cengkaman Covid-19 dan juga krisis ekonomi.
Perbalahan dan perebutan kuasa sepatutnya tidak boleh lagi berlaku ketika ini dan juga pada masa hadapan selagi Covid-19 mengganas.
Menurut penganalisis politik, Prof. Dr. Mohd Azizuddin Mohd. Sani, peranan paling utama kerajaan baharu yang bakal dibentuk adalah untuk menghentikan polemik politik sebelum boleh beralih untuk memberi fokus kepada menangani isu kesihatan dan ekonomi Malaysia.
“Krisis politik adalah sesuatu yang perlu diselesaikan terlebih dahulu dan perlu dilakukan secepat mungkin kerana ia mengganggu tugas-tugas lain yang lebih penting seperti isu pandemik Covid-19 dan juga menghidupkan semula ekonomi.
“Kerajaan khususnya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selaku Perdana Menteri baharu perlu mencari jalan secepat mungkin untuk meleraikan perbalahan dalam parti-parti dan ahli politik, kemudian memberi tumpuan kepada dua isu ini yang jauh lebih penting,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.
Tambah beliau, siapa pun Perdana Menteri dan barisan Kabinet baharu yang akan dilantik bagi menerajui tugas kelak, rakyat mahu kesemua mereka berganding bahu, menggembleng usaha bagi membantu negara pulih daripada Covid-19 dan krisis ekonomi yang menyebabkan masalah lebih besar seperti pengangguran.
“Isu pandemik ketika ini nampaknya ditangani dengan semakin baik susulan perjalanan program vaksinasi yang lancar dan pengurangan jumlah kemasukan ke hospital akibat Covid-19.
“Fokus seterusnya adalah pelan pemulihan ekonomi merangkumi pakej kepada individu terjejas dan membuka semula beberapa sektor seperti pelancongan.
“Secara peribadi, saya berasakan bahawa Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang dirangka kerajaan terdahulu sudah cukup baik dan kerajaan baharu yang mengambil alih menerajui negara perlu melaksanakannya mengikut rancangan,” katanya.
Mohd. Azizuddin turut menzahirkan harapan agar PPN yang merupakan hala tuju negara untuk keluar daripada kemelut Covid-19 dengan selamat itu bukan hanya hebat pada rangka kerjanya, namun turut hebat dalam pelaksanaannya.