HANYA berbekalkan modal RM50 sejak memulakan perniagaan 22 tahun yang lalu, Razuna Kiprawi, 51, kini mampu menarik nafas lega apabila jenama Belacan Palas Bintulu dikenali ramai.
Anak Nelayan dari suku kaum Vaie Bintulu, Sarawak itu tidak pernah berasa malu untuk berniaga kerana sejak dari kecil lagi telah didedahkan dengan dunia usahawan dengan menjual hasil tangkapan laut bapanya di sekeliling kampung menaiki basikal.
Pengalaman tersebut telah menjadi pendorong buat usahawan belacan pertama di Bintulu itu mempopularkan produk daripada hasil tangkapan laut di daerah itu.
Menurut Pengasas Monanie Family Enterprise Bintulu yang menyertai Amanah Ikthiar Malaysia (AIM) itu, pada awal pembabitannya menjual belacan palas dengan pembungkusan yang tidak menarik tanpa jenama dan pelekat, produknya kurang dikenali dan hasil jualan agak rendah.
Jelasnya, setelah bersama AIM sejak tahun 2006, dia berpeluang mengikuti pelbagai kursus keusahawanan yang disediakan, malah menimba ilmu hingga ke Sabah bagi melihat bagaimana penghasilan produk dijalankan.
Melalui modal awal pinjaman RM500 daripada AIM, syarikat mengeluarkan jenama Belacan Palas Bintulu dan diperluaskan kepada 19 produk lain berasaskan hasil tangkapan laut hasil penyertaannya dalam beberapa kursus badan tersebut.
Produk tersebut terdiri daripada keropok keping ikan parang, ikan tenggiri, lekor keping, lekor basah, umai Bintulu, udang geragau kering, ikan salai dan ikan sate.
Bagi segmen belacan pula, Razuna menjelaskan, ia turut dikomersialkan kepada 13 produk lain yang berasaskan belacan.
Antaranya ialah belacan kapsul dan blok, serbuk belacan, keropok berperisa belacan dan ikan berperisa belacan.
“Perkembangan ini hasil kursus di Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (MARDI) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) yang saya sertai sebelum ini,” ujar ibu kepada empat anak itu.
“Sahabat AIM harus kekal berada di landasan dan menggunakan modal pinjaman dengan betul bagi memastikan ia dapat mendatangkan hasil.
“Sahabat AIM janganlah lari daripada niat dan landasan yang dipelajari selama ini.
“Hala tuju dan kejayaan kita, sekali gus akan dapat mengubah status keluarga dan membantu anak-anak menyambung pengajian,” jelasnya.
Mereka yang berminat untuk mendapatkan produk keluaran Monanie Family Enterprise boleh menghubungi Razuna di talian 011-1402 8670 atau berkunjung ke Kampung Assyarakirin Fasa 2, Lot 2533, Jalan Mawar Kuning Bintulu atau layari Facebook: [email protected].