KOTA BHARU – Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) tidak bertanggungjawab dalam urusan penghantaran pulang pesakit Covid-19 yang sudah sembuh dari Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) ke rumah masing-masing.
Pengarahnya, Datuk Dr. Zaini Hussin berkata, sebelum ini, proses menghantar pulang pesakit ke rumah mereka adalah inisiatif daripada beberapa PKRC di Kelantan hasil kerjasama Pejabat Majlis Daerah tertentu.
Menurutnya, tindakan berkenaan merupakan satu tanggungjawab sosial yang dilakukan bagi membantu sesetengah pesakit untuk pulang selepas tempoh kuarantin tamat sepenuhnya.
“Ia bukan satu kewajipan kepada JKNK untuk menghantar pesakit Covid-19 pulang. Pesakit boleh menggunakan perkhidmatan teksi dan e-hailing untuk pulang ke rumah kerana mereka sudah sihat.
“Orang ramai perlu faham kerana JKNK berhadapan dengan ribuan pesakit. Kita mengharapkan keselesaan semua pihak di PKRC, namun bilangan kakitangan ketika ini amat terhad,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat PKRC Gelanggang Seni di sini hari ini.
Berkata demikian ketika diminta mengulas satu video tular di media sosial yang memaparkan seorang wanita yang tidak berpuas hati dengan layanan pihak Kementerian Kesihatan semasa dikuarantin di sebuah PKRC di Tanjung Chat di sini baru-baru ini.
Mengulas lanjut, menurut Zaini, JKNK sudah menjalankan siasatan berhubung video tersebut dengan meneliti segala aspek agar tidak berlaku salah faham. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929