JAKARTA – Seorang lelaki dari wilayah Kebumen, Jawa Tengah disenarai hitam selama lima tahun daripada mendaki Gunung Sindoro dan Gunung Slamet di Pulau Jawa kerana tindakannya mempermainkan petugas di situ, lapor Tribun-Pantura, kelmarin.
Lelaki dikenali sebagai Iqbal Fauzi Pratama itu didakwa sengaja mempermainkan renjer gunung atau ‘prank’ kerana mahu menjadikan aksinya sebagai kandungan media sosial TikTok.
Pengelola Basecamp Banaran, Kabupaten Wonosobo, Andika mengesahkan senarai hitam Fauzi dan memberitahu bahawa tindakan tersebut dilaksanakan sebagai pengajaran kepada pengunjung lain.
“Suspek dipercayai sengaja menyusahkan renjer gunung dalam salah satu aktiviti pendakian baru-baru ini apabila menipu kakinya sakit dan tidak mampu berjalan turun.
“Itu membuatkan renjer kami terpaksa berulang-alik ke basecamp (kem pangkalan) untuk mengambil kenderaan bagi membawa lelaki itu turun dengan selamat. Anehnya, sebaik tiba di bawah, dia terus berlari seperti biasa,” jelas Andika.
Tambah Andika, perbuatan Fauzi adalah tidak wajar kerana dia seperti merendah-rendahkan pekerjaan seorang renjer gunung dan menjadikannya gurauan di media sosial. – Agensi