HANOI – Perdana Menteri Vietnam, Pham Minh Chinh mengarahkan semua penduduk Bandar Raya Ho Chi Minh agar menjalani ujian saringan Covid-19 dalam usaha baharu untuk mengekang penularan wabak di hab komersial kebangsaan itu, lapor akhbar Bangkok Post semalam.
Arahan tersebut dikeluarkan selepas pemerintah melarang semua warga kota untuk tidak keluar rumah dan mengerahkan askar berkawal dan melakukan tugas menghantar bekalan makanan dari rumah ke rumah.
Ini berikutan insiden pembelian panik yang berlaku hujung minggu lalu apabila semua pasar harian diserbu penduduk akibat salah faham arahan perintah berkurung tersebut.
Perintah larangan keluar membeli makanan ke atas bandar raya yang memiliki populasi sekitar 10 juta orang itu akan dilaksanakan hingga 6 September ini.
Pegawai-pegawai tempatan menganggarkan kota raya itu perlu menyediakan 11,000 tan bekalan makanan kepada penduduk setiap hari dan yakin ia dapat dipenuhi dengan baik oleh pemerintah.
“Tentera akan bekerjasama dengan pasukan sukarelawan, veteran dan beberapa persatuan kebajikan untuk mengagihkan makanan kepada isi rumah,” kata Timbalan Menteri Pertahanan, Vo Minh Luong dalam laman web rasmi pemerintah.
Bagaimanapun, Minh Luong tidak memperincikan kaedah pengedaran yang bakal dilaksanakan itu dan hanya memberi jaminan ia akan berjalan dengan lancar.
Setakat Sabtu, Vietnam yang turut berdepan serangan varian Delta yang dahsyat, mencatat 11,299 kes positif tempatan.
Bandar Raya Ho Chi Minh adalah pusat penularan utama apabila lebih 171,000 pesakit domestik dilaporkan daripada 332,626 kes tempatan sejak permulaan gelombang baharu pada 27 April lalu.
Bandar raya itu juga mencatatkan 80 peratus daripada keseluruhan kematian Covid-19 di Vietnam. – Agensi