PUTRAJAYA – Umat Islam di Malaysia tidak perlu bimbang kerana pihak kerajaan akan tetap mempertahankan pengajian bidang aliran tahfiz dalam arus sistem pendidikan negara ini.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Abdul Aziz Jusoh berkata, ia terbukti apabila 1,483 institusi tahfiz swasta di seluruh negara didaftarkan sehingga kini.
“Kerajaan juga sentiasa peka, melihat dan meneliti semua aspek dalam usaha memartabatkan bidang tahfiz di negara ini meliputi tahap kualiti, keberhasilan serta prospek masa depan selain turut melibatkan aspek tadbir urus dan kewangan sambil berharap, semoga usaha itu berterusan sehingga negara capai impian melahirkan generasi al-Quran, Insya Allah,” jelasnya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Amanat Perdana Bersama Pelajar Baharu Tajaan Skim Pembiayaan Hafiz (SPH) 2021 melibatkan 232 pelajar dengan biasiswa berjumlah RM3.3 juta.
Sehingga kini, SPH berjaya menaja sejumlah 1,177 pelajar termasuk enam dalam peringkat doktor falsafah dan 50 lagi untuk peringkat sarjana dengan kos keseluruhannya RM62 juta.
Mengulas lanjut, Abdul Aziz berkata, kali ini terdapat 32 pelajar melanjutkan pengajian di pelbagai universiti di Mesir, Jordan dan Indonesia dalam bidang antaranya perubatan dan kejuruteraan.
“Alhamdulillah, tahun ini peruntukan khas kerajaan persekutuan juga diluluskan sebanyak RM100 juta untuk kos selenggara yang diagih berperingkat kepada 1,066 institusi,” katanya. -K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929