SUNGAI PETANI – Seorang lelaki dipercayai penternak lembu ditemui mati dengan kesan tikaman dan tembakan di Estet Kongsi 14, Jalan Bukit Selambau dekat sini malam semalam.
Mangsa berusia 38 tahun itu ditemui tertiarap berlumuran darah bersebelahan motosikal jenis Honda EX5 miliknya kira-kira pukul 8 malam.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, polis menerima laporan penemuan mayat mangsa di bahu jalan di estet itu pada pukul 10.30 malam.
“Siasatan kita mendapati terdapat kesan luka tikaman di dada dan tembakan di bahagian hadapan dan belakang badan mangsa.
“Turut ditemui di tempat kejadian adalah kelongsong peluru dan semakan rekod mendapati mangsa mempunyai rekod jenayah,” katanya.
Kata Adzli, siasatan masih diteruskan untuk mengetahui punca sebenar mangsa dibunuh.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929