Oleh SYED AHMAD ZULKARNAIN SYED ALI
SEREMBAN – Seorang pemilik syarikat didakwa di Mahkamah Seksyen Seremban hari ini di atas 22 pertuduhan pengubahan wang haram berkaitan pengedaran rokok seludup menggunakan setem cukai palsu, enam tahun lepas.
Tertuduh, Chuah Boon Leng, 54, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim, Diana Md. Razali selepas kesemua pertuduhan dibacakan jurubahasa dalam bahasa Mandarin.
Mengikut pertuduhan pertama hingga ke-18, Boon Leng didakwa menggunakan lima akaun semasa Maybank, CIMB dan Hong Leong Bank dan sebuah akaun Maybank syarikat sebagai peralatan kesalahan berkaitan pelakuan aktiviti haram.
Bagi pertuduhan ke-19 hingga ke-22, dia didakwa memindahkan wang keseluruhan berjumlah RM550,000 daripada akaun Maybank miliknya ke dalam akaun CIMB miliknya yang merupakan peralatan kesalahan pelakuan aktiviti haram.
Semua kesalahan itu dilakukan di Maybank Berhad Cawangan Seremban 2, CIMB Bank Berhad Seremban 2 dan Hong Leong Bank Berhad Seremban 2, pada 1 Oktober 2014 hingga 24 Mei 2019.
Dia didakwa mengikut Subseksyen 4(1) (b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613).
Jika didapati bersalah tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan atau RM5 juta yang mana lebih tinggi.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Harris Ong Mohd Jeffery Ong yang memohon mahkamah mengenakan jaminan RM100,000 dengan seorang penjamin.
Namun peguam bela, Ariff Ameer memohon jaminan dikurangkan sebanyak RM10,000 dengan alasan tertuduh tiada sumber pendapatan dan perlu menanggung keluarga.
Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak Diana membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM80,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 15 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes. – K! ONLINE