KLANG – Tindakan pasangan suami isteri melakukan ‘eksperimen sosial’ masuk ke beberapa kedai dan makan di kedai tanpa melengkapkan dua dos vaksin membawa padah apabila mereka ditahan polis semalam.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, penahanan pasangan suami isteri berusia 35 dan 36 tahun itu dilakukan pukul 5 petang semalam di rumah mereka di Bandar Putera 2, dekat sini.
Katanya, penahanan dibuat susulah pihaknya menerima aduan berhubung penularan medium media sosial pemilik akaun bernama Mujaheeda Soleha yang memuat naik kenyataan berkisarkan tentang ekperimen sosial mereka.
“Pemilik akaun juga turut memuat naik kenyataan yang telah mendatangkan ketakutan dan kegentaran kepada orang awam.
“Kedua-dua mereka kemudiannya dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangan mereka diambil polis,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Jelas beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 269 dan Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan selain Seksyen 22 (b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi Malaysia.
Sehubungan itu, Shamsul Amar menegaskan orang ramai diminta agar sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam menjalani kehidupan harian, sebagai usaha bersama untuk membendung penularan wabak Covid-19.
Kosmo! semalam melaporkan perkongsian seorang wanita di laman sosial Facebook tentang ‘eksperimen sosial’ yang dilakukan bersama suaminya untuk melihat sama ada boleh makan di kedai tanpa melengkapkan dua dos vaksin, dikecam orang ramai.
Menerusi satu tangkap layar perkongsian tersebut yang tular di laman sosial sejak semalam, wanita berkenaan dilihat dengan bangga menceritakan kejayaannya dan suami pergi ke beberapa premis termasuk kedai makan tanpa sebarang masalah.-K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929