fbpx

Lesap RM70,000 ditipu ‘polis IPD Seremban’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

SEBERANG PERAI – Seorang pekerja swasta di Mak Mandin, Butterworth di sini berputih mata apabila wang simpanannya sebanyak RM70,000 lesap selepas dipercayai menjadi mangsa penipuan sindiket yang menyamar polis semalam.

Mangsa perempuan berusia 49 tahun itu mula terjerat dalam penipuan tersebut selepas menerima satu panggilan telefon daripada individu tidak dikenali baru-baru ini.

Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor, individu terbabit kononnya wakil syarikat Telekom Malaysia telah memaklumkan bahawa mangsa mempunyai tunggakan cukai syarikat sebanyak RM1,188.

Beliau berkata, panggilan itu kemudiannya disambungkan kepada individu lain yang mendakwa dirinya sebagai pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban di Negeri Sembilan.

“Mangsa kemudiannya dimaklumkan oleh ‘pegawai’ terbabit bahawa dia didapati terlibat kes pengubahan wang haram.

“Wanita itu yang panik telah mengikut arahan suspek supaya tidak memberitahu sesiapa serta diminta menyerahkan maklumat akaun dan kod kebenaran transaksi (TAC) atau kata laluan sekali guna (OTP) bagi siasatan lanjut,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata, sejurus menyerahkan nombor terbabit, mangsa mendapati wang di dalam akaun bank miliknya telah berkurangan dipercayai melalui transaksi yang dilakukan suspek.

“Mangsa juga telah memindahkan separuh daripada wang miliknya ke dalam akaun bank lain dengan mempercayai ia adalah untuk tujuan siasatan.

“Dia bagaimanapun menyedari ditipu selepas mendapati wang sebanyak RM70,000 telah lesap dan tampil membuat laporan polis semalam,” katanya lagi.

Sementara itu, Noorzainy menasihati orang ramai agar sentiasa berwaspada dan tidak mudah percaya dengan sebarang panggilan telefon kerana pihak polis tidak berurusan dengan orang awam melalui telefon dan meminta maklumat perbankan.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI